KOSMO!

GAMBAR menunjukkan ketua kampung Kedungkumpul, Angely Emitasari. – AGENSI
JAKARTA – Berita mengenai dakwaan skandal antara Angely Emitasari (AE) yang merupakan ketua kampung Kedungkumpul di Lamongan, wilayah Jawa Timur dan Inspektor Satu I Gusti Agus (IGA) yang menjawat jawatan ketua unit siasatan jenayah Polis Gunung Anyar, Surabaya, telah menjadi bahan bualan hangat dalam kalangan penduduk tempatan, lapor laman berita detikjatim semalam.
Meskipun dikenali dengan perwatakan yang baik dan pemurah serta suka berkongsi dengan masyarakat, penduduk berkata, mereka tidak begitu terkejut dengan berita melibatkan ketua kampung mereka.
Seorang penduduk Kedungkumpul berkata, AE mempunyai imej awam yang agak baik.
“AE seorang yang baik pada mata penduduk, kerap memberi sumbangan. Namun penduduk juga tidak terkejut perkara ini berlaku,” kata seorang warga setempat yang enggan identitinya didedahkan.
Menurutnya, masyarakat setempat masih belum memutuskan pendirian mereka terhadap AE.
Mereka memilih untuk menunggu perkembangan proses undang-undang yang sedang berjalan sebelum mengambil tindakan lanjut, termasuk kemungkinan membuat laporan kepada Badan Permusyawaratan Desa (BPD) atau Ketua Daerah Sukorame.
“Rumusannya, penduduk sedang menunggu proses undang-undang yang berjalan. Sebaik sahaja keputusan proses undang-undang diperoleh, penduduk akan menentukan langkah seterusnya.
“Ini mungkin termasuk membuat laporan kepada BPD dan Ketua Daerah Sukorame,” katanya.
Kes dakwaan skandal yang melibatkan AE bermula dengan serbuan di sebuah bilik hotel di kawasan Oro-oro Ombo, Bandar Batu awal Sabtu lepas.
Pada waktu tersebut, AE didakwa berada bersama IGA.
Serbuan dilakukan selepas isteri sah IGA, ED melaporkan keberadaan suaminya kepada Polis Batu. Pasukan gabungan kemudiannya tiba di hotel berkenaan sekitar pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) dan menahan kedua-dua mereka di dalam sebuah bilik.
Semasa siasatan, Ketua Polis Batu AKBP Panji Gedhe Prabawa mendedahkan terdapat percanggahan dalam kenyataan yang diberikan oleh AE dan IGA.
Menurut Panji, AE mengaku mempunyai hubungan dengan pegawai polis berkenaan, manakala IGA masih belum mengakui dakwaan hubungan sulit tersebut.
“Daripada maklumat awal, pihak wanita telah mengakuinya,” kata Panji ketika disahkan oleh pihak media, Selasa lepas.
“Namun pihak lelaki masih mempunyai alibi. Oleh itu, kami masih memerlukan bukti lain untuk mengukuhkan langkah kami yang seterusnya,” tambahnya.
Penyiasat juga menjejaki perjalanan kedua-dua individu berkenaan sebelum serbuan dilakukan. AE dan IGA diketahui keluar bersama menggunakan kenderaan Toyota Kijang milik AE.
Kenderaan tersebut kemudiannya disita sebagai barang bukti, bersama beberapa barangan dari bilik hotel.
Kes itu diproses melalui dua saluran. Pihak Polis Batu sedang menyiasat dakwaan jenayah, manakala IGA sedang disoal siasat atas dakwaan pelanggaran kod etika Polis Nasional.
Terbaharu, IGA telah ditempatkan di unit khas Polis Daerah Jawa Timur. Pengendalian dakwaan pelanggaran kod etika pegawai terbabit juga telah diserahkan kepada Polis Daerah Jawa Timur. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan