"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib suka merengek dan kememe – Ahli Parlimen Raub

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz melancarkan kritikannya sekali lagi ke atas pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan menyifatkannya sebagai kepimpinan reput.
Beliau mendakwa, kelemahan kepimpinan menyebabkan institusi kerajaan dan pengurusan menjadi tidak menentu yang menyebabkan ”kementerian beroperasi secara bersendirian yang menampakkan kerajaan ini tidak ada coherence (koheren) dan cohesiveness (saling hubungan).”

Akibat daripada keadaan itu tambahnya, ”jabatan dan kementerian beroperasi secara tidak terkawal,” dengan memberi contoh isu surat FBI oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Haimdi tidak dalam pengetahuan kabinet.

Malah Mohd Ariff mendakwa, pemimpin tertinggi negara itu tergamak bersuka-ria pada ketika negara berdepan dengan pelbagai musibah dan memilih untuk berdiam diri.

Menurut beliau, Perdana Menteri suka pelbagai isu yang melingkari rakyat pada masa sekarang kerana ia mengalihkan perhatian daripada isu dan masalah sebenar negara.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Pekan itu turut menyindir Najib: ”Dia merengek dan kememe (suka menangis) tak dapat tidur malam dan dijangkiti e- coli. Sultan Kelantan berendam dalam air dan makan dengan mangsa banjir ok pulak.”

Dalam entri terbaru blog sakmongkol.blogspot.com, Mohd Ariff menyatakan, kepimpinan Mohd Najib berdepan dengan keruntuhan tetapi diselindungi dengan isu seperti dakwaan peguam Eric Paulsen ke atas Jakim dan artis K-Pop peluk gadis Melayu bertudung.

Selain membangkitkan syarikat pelaburan kerajaan 1MDB yang menanggung hutang jaminan kerajaan, beliau mendakwa, masalah rasuah semakin buruk di Malaysia tetapi tidak diberi perhatian.

Dalam tulisannya kali ini, wakil rakyat DAP itu menyerang menggunakan perkataan ”Dol” dan ”samdol” bertujuan merendahkan taraf pemimpin kerajaan yang didakwanya sudah gagal tahap mereput.

”Rasuah itu real bukan persepsilah Dol- keadaan ekonomi yang makin parah, agihan pendapatan yang makin tidak adil. Semua ini berpunca dari kualiti kerajaan dan standard berkerajaan yang rendah yang semuanya pula berpunca dari kepimpian Najib yang koro (naif),” tambahnya.
-fmt-

Berakhirkah sudah legasi Tok Guru Nik Aziz?

Dinsman
Betul, dulu saya menyanjung Tok Guru Nik Aziz dan sekarang pun saya masih menyanjungnya, kerana Nik Aziz yang dulu dengan Nik Aziz sekarang adalah orang yang sama; hanya bezanya sekarang dia semakin uzur dan peranannya dalam politik PAS jauh berkurangan dan tidak seefektif dulu.
Itulah jawapan kepada salah seorang pembaca yang bertanya, sebagai respons kepada tulisan saya yang mengkritik ulama dalam PAS, awal Disember 2014. Soalannya – kenapa dulu saya begitu menyanjung Tok Guru Nik Aziz tetapi sekarang mengkritik ulama?

Saya tidak mengkritik ulamanya Nik Aziz, tetapi saya mengkritik segelintir ulama lain yang menduduki beberapa jawatan penting dalam pimpinan atasan PAS dan mempengaruhi perjalanan parti itu, bukan sahaja sebagai natijah keberkesanan kepemimpinannya (seperti yang berlaku pada kepemimpinan Nik Aziz), tetapi juga melalui kempen yang digerakkan dengan sedar bagi menyingkirkan pihak yang dianggap mengancam kedudukan mereka di dalam parti.
Itulah yang saya maksudkan apabila saya kata mereka itu “kehilangan keyakinan diri”. Orang yang mempunyai keyakinan diri yang teguh seperti Nik Aziz dan juga Almarhum Ustaz Fadzil Noor misalnya tidak pernah berasa kedudukan mereka terancam dan tidak pernah berasa perlu menggerakkan kempen bagi menyingkirkan pihak yang dianggap mengancam dan menyaingi kedudukan mereka.
Bahkan mereka menerima dan meraikan kehadiran golongan profesional dan intelektual tersebut (yang dianggap memberi ancaman dan saingan itu) yang mahu berjuang bersama bagi mencapai matlamat parti.

Satu hal yang sangat jelas menjadi asas kepemimpinan Nik Aziz (dan juga Fadzil Noor) ialah penekanan dan fokus yang diberikan kepada dakwah Islamiyah sentiasa berada di atas daripada segala kepentingan dan pertimbangan lain, termasuk kepentingan politik parti.

Perhatikanlah isi ceramah Nik Aziz misalnya, walau di manapun dan dalam situasi apapun dia berucap, termasuk dalam kempen pilihanraya sekalipun, dia sentiasa bercakap mengenai ajaran Islam begitu dan begini dan sentiasa berusaha memberi penerangan dan penjelasan dari pelbagai sudut, menggunakan bahasa dan perbandingan yang paling mudah difahami orang ramai. Mengenai ajaran Islam. Bukan mengenai kebaikan parti PAS.

Dan dia sentiasa menegaskan kerja dakwah yang dilakukan, bersama alim ulama lain termasuk guru-guru pondok adalah sebagai kesinambungan daripada kerja yang dilakukan oleh para ulama dahulu, sejak zaman berzaman, yang dimulai oleh para Rasul. Begitu dia menjelaskan kedudukan para ulama, tanpa ada kecenderungan berpolitik (atau kelihatannya seperti tidak ada kecenderungan berpolitik).

Saya sendiri beberapa kali mendengar Nik Aziz menasihati para pimpinan PAS supaya kurangkan bercakap mengenai PAS dan lebihkan bercakap mengenai Islam kerana tujuan dan matlamat perjuangan PAS ialah Islam. Bahkan beliau juga pernah berkata sekiranya Umno mengubah dasar perjuangannya daripada nasionalisme kepada Islam, PAS akan membubarkan partinya kerana tidak diperlukan lagi, kerana Umno sudah berjuang untuk Islam.

Begitu sekali Nik Aziz menjunjung Islam itu di atas dari segala-galanya, dan menganggap segala gerak kerjanya sebagai ibadat kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan, dan sentiasa mengingatkan orang ramai terhadap kehidupan akhirat – hingga kelihatan seperti dia tidak ada masa memikirkan soal kepentingan diri atau kepentingan untuk mempertahankan kedudukan dirinya di dalam parti.

Sebab itu apabila pihak lawan menuduh PAS memperalatkan Islam untuk mencapai kepentingan politik, tuduhan itu dilihat awam sebagai tidak mempunyai kewajarannya.

Berbeza dengan sekarang. Bukannya orang lain, orang dalam parti sendiripun sudah mula membuat tuduhan yang seperti itu – “mereka itu memperalatkan agama untuk kepentingan diri.” Orang sesama parti yang mengata. Kalau orang sesama parti pun sudah berkata begitu, bagaimanakah pula kita akan berhujah mempertahankan parti sekiranya pihak lawan menuduh demikian kepada kita?

Itulah yang membezakan ulama dulu dengan sekarang. Ulama dulu kurang berpolitik tetapi lebih berdakwah dan bercakap mengenai Islam, bukan mengenai parti. Ulama sekarang terlalu banyak berpolitik dan menjaga kepentingan diri dan puak.

Dan itulah yang membezakan Nik Aziz dengan segelintir individu yang menganggap diri mereka sebagai ulama sekarang, yang menduduki beberapa jawatan penting dalam PAS, termasuk dalam Majlis Syura Ulama – badan tertinggi dalam parti.

Apabila mereka mula berkempen untuk mempertahankan diri atau menjaminkan jawatan tertentu dalam parti untuk mereka dan menyingkirkan golongan profesional dan intelektual yang dianggap menyaingi mereka, saya melihat itu sebagai tanda mereka sudah kehilangan keyakinan diri.

Apatah lagi apabila kempen itu sudah menjadi ala-ala kempen di dalam Umno, akhlak mereka yang terlibat itupun sudah larilah daripada akhlak yang dianjurkan Islam. Di situ imej Islam sudah tercalar.

Selain itu banyaklah lagi tindakan dan gerak kerja mereka yang suka menonjolkan diri sebagai ulama di dalam PAS itu yang menyimpang daripada ‘jalan’ yang dilalui Nik Aziz. Bukan saya mengatakan jalan yang dilalui Nik Aziz itu sahaja satu-satunya jalan yang diiktiraf Islam.

Saya hanya mengatakan Nik Aziz menunjukkan satu jalan Islam yang diterima oleh orang ramai yang pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai agama di negara ini. Suatu pencapaian yang cukup besar bagi parti PAS dan juga bagi Islam kerana bukannya mudah untuk orang ramai yang bukan Islam pada hari ini hendak menerima pimpinan Islam.

Kempen dan dakyah Amerika-Zionis melalui pelbagai media yang nyata dan tak-nyata hari ini mempengaruhi bukan sahaja orang bukan Islam tetapi juga sebahagian orang Islam yang lemah imannya, memandang Islam itu hanya agama untuk ibadat peribadi sahaja, manakala untuk urusan kehidupan mereka lebih percayakan sistem-sistem sekular.

Maka amatlah menghairankan saya kenapakah khazanah pencapaian Nik Aziz yang sangat berharga untuk PAS dan juga untuk Islam tidak dipelihara dan dipertahankan oleh para ulama di dalam PAS hari ini. Malah mereka yang diamanahkan untuk mentadbir negeri Kelantan setelah Nik Aziz melepaskan jawatan menteri besar pun nampaknya tidak begitu bersungguh meneruskan ‘jalan’ yang dilalui dan dibuktikan keberkesanannya oleh Nik Aziz itu.

Bukanlah mereka mengabaikannya langsung. Banyak juga yang mereka hargai dan mereka teruskan. Tetapi banyak pula kecacatan dan kelemahan dalam mereka meneruskan itu. Apakah kerana kurang memahami/menghayatinya atau kerana mencuba membuat pembaikan atau membuat penyesuaian dengan keperluan baru – saya tak tahulah.

Yang jelasnya nampak seperti mereka kurang menghargai dan menghayatinya. Walaupun ada ditubuhkan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) misalnya, tetapi apakah fungsi dan peranan yang dimainkan oleh institut itupun setakat ini tidak jelas.

Misalnya dalam pergolakan yang berlaku di kalangan ulama di dalam PAS mutakhir ini, saya fikir barangkali IPTG boleh melakukan sesuatu, samada reaksi secara langsung ataupun tidak langsung. Tetapi nyatanya tidak.
-malaysianinsider-

Jihad seorang gay melawan nafsu

XIFU NASER
“JIHAD yang paling besar bagi saya ialah jihad semasa solat berjemaah.” Inilah kenyataan yang paling mengejutkan saya. Ia datang daripada seorang insan cross over yang berbangsa Cina. Nama samarannya ialah Chee Keong. Dia jumpa saya untuk meminta nasihat khas.

Saya tidak dibenarkan untuk membawa sesiapa pun ketika berjumpa dengannya. Hanya saya dan Chee Keong di restoran mewah yang tertutup.

“Bagi Xifu, merapatkan saf semasa solat jemaah akan menambah khusyuk lagi. Bagi saya, ia mencabar keimanan saya, khasnya apabila bahu saya tersentuh bahu seorang jejaka yang kacak. Nafsu syahwat saya naik membara! Saya tak mampu nak solat Jumaat lagi! Saya amat terseksa,” kata Chee Keong.

“Naik nafsu seks semasa solat berjemaah? Saya tak faham. Kalau lelaki rapatkan saf dengan perempuan, barulah tak khusyuk,” saya keliru.

“Ini kerana Xifu adalah straight. Dari segi perasaan, saya masih gay walaupun saya telah peluk Islam lima tahun yang lalu!” Chee Keong mengaku. Chee Keong tidak lagi terlibat dengan homoseks.

Saya terkejut dengan pengakuan Chee Keong kerana tiada tanda gay langsung pada diri Chee Keong. Dia adalah lelaki yang gagah berani. Tiada sifat sotong! Selama lima tahun saya kenalnya, dia adalah seorang yang tekun belajar agama. Tidak memandang perempuan.

Belum berkahwin walaupun sudah berumur 33 tahun.

Tetapi pengakuannya amat memeranjatkan saya. “Apa yang buat you naik nafsu syahwat semasa solat jemaah?” saya tanya.

“Saya sangat bernafsu pada telapak kaki lelaki muda kacak. Bayangkan apabila mereka ambil wuduk dan bayangkan apabila sujud!” Chee Keong makin nampakkan kesedihannya.

“Xifu, I am proud to be a Muslim. Tapi ujian ALLAH SWT ini terlalu berat bagi saya.” Chee Keong dah hampir tidak dapat menahan air matanya.

“Saya kenal ramai gadis muda, cun dan bijak. Saya boleh rekomen jadi isteri. Kahwinlah cepat! Nikah dalam Islam itu amat mudah sahaja,” saya berusaha memberi semangat kepadanya.

“Xifu, saya dah berusaha bernafsu pada perempuan. Bahkan saya cuba tengok ramai perempuan yang hot dan seksi di shopping kompleks. Saya tak rasa apa-apa pun. Macam tengok kayu! Saya hanya bernafsu pada yang rata dadanya!” sindir Chee Keong. Saya faham
bahawa ‘yang rata dadanya’ di sini merujuk kepada lelaki.

“Bagaimana Chee Keong boleh terjebak sampai ke tahap ini?” saya tanya.

“Saya dinodai oleh pakcik semasa umur enam tahun. Kemudian oleh ketua pengawas sekolah. Tiada halal haram kerana saya bukan Muslim. Memang ada Muslim yang gay juga tetapi mereka pun berperangai seperti bukan Muslim. Saya masih muda. Saya hanya pengikut.
Akhirnya, semua girlfriends saya adalah lelaki kacak sama ada Cina atau Melayu,” kata Chee Keong penuh kesalan.

“Chee Keong, ada sebuah institusi Islam berkata bahawa ia berjaya menyembuhkan gay setelah mereka menjalani kem sembuh gay untuk beberapa hari. Kalau kamu menyertai kem ini, kamu akan jumpa semua peserta seperti kamu. Ini akan bagi motivasi bagi kamu untuk sembuh.” saya cuba bagi jalan.

Chee Keong tergelak besar tiba-tiba. “Xifu, kem ini gagal sebenarnya. Penganjur itu straight. Manalah mereka faham psikologi gay. Bila mereka kumpulkan gay, mereka membuka jalan untuk gay berjumpa dan tukar nombor telefon! Ia akan jadi gay club!”

Tiba-tiba, saya terasa diri saya sangat jahil dalam dakwah, khususnya dalam aspek ini. Betul kata Chee Keong. Saya melihat dari perspektif straight. Chee Keong bukan transgender. Dia lelaki yang inginkan lelaki. Dia tidak bernafsu pada transgender. Dia hendak ‘yang rata dadanya’.

Sebagai seorang tokoh pendakwah, saya gagal. Terlalu banyak perkara yang saya tidak faham. Saya sangat kecewa dengan diri saya. Tetapi saya berusaha menjadi pendengar yang baik.

“Xifu, setiap kali saya dengar hayya alal falaah pada azan, ia memberi motivasi pada saya. Saya tidak akan berkahwin supaya tidak menganiaya perempuan. Setiap hari saya merasai al-falah, kemenangan kerana setiap hari saya berjihad melawan nafsu saya walaupun semasa solat berjemaah!”

* Abdul Naser Abdul Rahman tokoh pendakwah Perak
-sinarharian-