"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Penyatuan umat’ membisu selepas RCI bongkar penyelewengan Tabung Haji

Harapandaily

Ketika isu kaum dan agama dimainkan, suara kelompok yang membawa slogan ‘penyatuan umat’ biasanya kedengaran paling lantang.

Namun, apabila Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan salah tadbir urus serta unsur penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji, ‘penyatuan umat’ membisu dan gagal bersuara membela institusi itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pendedahan mengenai pengurusan Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 amat menyedihkan kerana institusi itu dibangunkan daripada simpanan hasil titik peluh umat Islam yang mahu menunaikan ibadah haji.

Menurutnya, TH bukan sahaja menjadi institusi penting kepada umat Islam di Malaysia, malah pernah dibanggakan sebagai sebuah organisasi milik Melayu Islam yang maju dan dihormati di peringkat dunia.

Namun, katanya, kebanggaan itu tercalar akibat tindakan segelintir pihak yang terlibat dalam salah pengurusan institusi berkenaan.

“Malangnya, ‘penyatuan umat’ membisu dan gagal bersuara membela Tabung Haji serta menentang perlakuan salah pengurusan Tabung Haji ketika pemerintahan Umno dahulu.

“Jelas sekali ‘penyatuan umat’ adalah untuk meraih kuasa dan bukannya membela Melayu serta mengangkat martabat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, laporan RCI Tabung Haji setebal hampir 200 muka surat diterbitkan dengan antara lain mendedahkan masalah kewangan TH telah berada dalam keadaan kritikal pada tahun kewangan 2017.

RCI TH ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Ia susulan beberapa penemuan yang dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bersama lima lagi pesuruhjaya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan 2022.

RCI berkenaan menyimpulkan krisis kewangan yang dihadapi TH ketika itu berpunca daripada gabungan beberapa faktor termasuk pembayaran hibah yang tinggi, amalan perakaunan yang disifatkan sebagai kreatif, kelemahan pengauditan serta strategi pelaburan yang melangkaui kemampuan kewangan sebenar institusi berkenaan.

Pelan pemulihan TH

Mengulas lanjut, Faiz secara sinis berkata, penyelewengan sememangnya dilarang Islam, tetapi perkara itu nampaknya tidak termasuk dalam senarai perjuangan kelompok yang gemar mendakwa diri mereka sebagai pembela Melayu dan Islam.

Peguam berkenaan berkata, laporan RCI terbabit turut mengiktiraf pelan pemulihan TH yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Beliau mengingatkan bahawa ketika proses pemulihan itu dilakukan, jawatan Menteri Kewangan dipegang Lim Guan Eng daripada DAP iaitu parti yang sering dijadikan bahan momokan oleh pihak tertentu dalam kempen politik mereka.

“Orang Melayu perlu menilai agenda penyatuan umat yang hanya memainkan isu perkauman, sedangkan soal penyelewengan tidak mengenal kaum,” katanya.

Dalam masa sama, Faiz turut menolak cubaan sesetengah ahli politik mengalihkan perhatian dengan mendakwa laporan berkenaan tidak mendedahkan secara khusus sebarang perlakuan jenayah.

Jelasnya, RCI bukan badan penguat kuasa yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan bentuk pertuduhan jenayah atau mengenal pasti individu yang perlu didakwa.

Sebaliknya, laporan itu telah merekodkan kerugian pelaburan melibatkan beberapa anak syarikat TH yang memerlukan siasatan lanjut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, keperluan supaya siasatan lanjut dijalankan menunjukkan terdapat unsur yang berpotensi melibatkan kesalahan jenayah dan tidak boleh dipandang ringan.

“RCI tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengenal pasti bentuk kesalahan jenayah secara khusus dan siapakah pelakunya. Perkara itu berada dalam bidang kuasa polis dan SPRM,” katanya.

Sehubungan itu, Faiz menggesa kedua-dua agensi berkenaan menjalankan siasatan secara mendalam dan segera bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, tindakan tegas penting untuk memulihkan keyakinan umat Islam terhadap Tabung Haji, bukannya sekadar melaungkan slogan penyatuan apabila musim pilihan raya semakin hampir.

“Apabila mahu undi Melayu, mereka bercakap soal penyatuan ummah. Apabila wang umat didakwa disalah urus, penyatuan itu pula memilih untuk menyepi,” sindir beliau lagi.

Tiada ulasan: