FMT Reporters
Mahkamah Tinggi Klang membenarkan rayuan Fathi Na’im mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Klang tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Klang mendapati berlaku kekhilafan di peringkat mahkamah rendah kerana tidak membenarkan penangguhan bagi membolehkan Fathi Na’im mendapatkan khidmat peguam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Klang melepas dan membebaskan penceramah bebas, Fathi Na’im daripada tiga pertuduhan merogol dan amang seksual remaja 13 tahun pada 2021.
Sinar Harian melaporkan Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan rayuan Fathi atau nama sebenarnya Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 34, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Klang tahun lalu.
Roszianayati mendapati berlaku kekhilafan di peringkat mahkamah rendah kerana tidak membenarkan penangguhan bagi membolehkan Fathi mendapatkan khidmat peguam, yang merupakan prejudis terhadapnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengendalikan pembelaannya sendiri.
Dalam prosiding rayuan, Fathi diwakili peguam Muhammad Fazaly Ali Mohd Ghazali, sementara pendakwaan sebagai responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Redza Azhar Rezali.
Pada 18 Sept 2025, Fathi dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang atas tiga pertuduhan merogol dan amang seksual remaja 13 tahun.
Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama, Fathi didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 13 tahun dalam kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa merogol seorang remaja 13 tahun dalam sebuah kereta di kawasan parkir lokasi sama pada 3 petang dan 7 malam awal Julai serta 27 Julai 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah disebat, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan