"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bimbang Qadiani kelirukan akidah anak muda

Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my
Suasana di luar sebuah premis penganut ajaran Qadiani di Kg Nakhoda yang kelihatan lengang selepas operasi. FOTO HARI ANGGARA
Suasana di luar sebuah premis penganut ajaran Qadiani di Kg Nakhoda yang kelihatan lengang selepas operasi. FOTO HARI ANGGARA
Gombak: Penduduk Kampung Nakhoda dan Kampung Laksamana, di sini, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang menjadikan sebuah premis tiga tingkat sebagai pusat penyebaran ajaran Ahmadiah (Qadiani) yang didakwa bebas beroperasi di kawasan perumahan mereka sejak lebih dua dekad lalu.

Ini kerana ajaran Qadiani itu bukan sekadar menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, malah kehadiran pengikut kumpulan itu yang semakin ramai dipelopori warga asing nyata mencetuskan kegelisahan komuniti setempat.

Menyuarakan rasa ralat itu, penduduk dikenali sebagai Syam berkata, biarpun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah memaparkan amaran jelas 'Qadiani Bukan Agama Islam' di depan premis itu, kegiatan kumpulan itu dilihat langsung tidak terjejas.

"Paling mengecewakan adalah waktu solat Jumaat. Masjid kariah kami terletak tidak sampai 100 meter dari pusat aktiviti ajaran Qadiani itu, tetapi mereka tetap berkeras mengadakan solat Jumaat kumpulan mereka sendiri.

"Situasi sebegini sangat merisaukan kerana ia boleh mengelirukan akidah anak-anak muda di sini," katanya.

Syam berkata, situasi menjadi lebih tegang kebelakangan ini apabila kawasan kampung sering dipenuhi pendatang asing dari Pakistan dan India, terutama apabila pusat itu menganjurkan acara berskala besar.

"Selain masalah kesesakan jalan yang teruk di persimpangan utama, penduduk juga mula meragui status pendatang terbabit sama ada mereka memiliki dokumen sah atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, serbuan pihak berkuasa di premis tiga tingkat itu, baru-baru ini, bukan saja membongkar aktiviti penganut ajaran Qadiani yang masih berterusan, malah mendedahkan keresahan berterusan penduduk tempatan berhubung lambakan warga asing pengikut ajaran itu di kawasan berkenaan.

Ketua Kampung Nakhoda, Jefrizal Jasman, berkata tindakan premis itu menganjurkan solat Jumaat sendiri di bangunan berkenaan sedangkan terdapat masjid utama berhampiran mencetuskan kekeliruan awam dan suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat sekeliling.

"Kekeliruan itu semakin meruncing apabila ada dalam kalangan masyarakat luar menyangka masjid rasmi Kampung Nakhoda yang diserbu, sedangkan operasi itu hanya membabitkan premis tiga tingkat yang difahami menjadi pusat pengumpulan penganut ajaran Qadiani.

"Premis itu sebenarnya digunakan sebagai tempat pengumpulan pengikut Qadiani. Kebetulan ketika operasi dijalankan, mereka sedang mengadakan solat Jumaat di situ, sedangkan masjid utama kampung hanya berada berhampiran," katanya.

Mengulas mengenai penerimaan penduduk tempatan, Jefrizal berkata, warga kampung secara keseluruhannya tidak selesa dengan kehadiran dan bertapaknya ajaran Qadiani di penempatan Melayu itu sejak sekian lama.

"Amalan penganut ajaran itu yang menggunakan ayat suci al-Quran, ceramah agama dan meletakkan kalimah Lailahaillallah pada bangunan mereka sudah mengelirukan orang ramai kerana ia kelihatan seolah-olah menyerupai amalan agama Islam.

"Mengikut fatwa, Qadiani ini bukan agama Islam dan kedudukannya sama seperti agama lain, namun tindakan mereka yang menyerupai amalan Islam amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan imej baik Kampung Nakhoda," katanya.

Beliau berkata, kerisauan penduduk turut menjurus kepada isu perkahwinan campur antara penganut ajaran berkenaan dengan warga tempatan, selain kewujudan segelintir penganutnya yang menetap dan menyewa di sekitar kawasan kediaman berkenaan.

"Setakat ini tiada sebarang laporan diterima mengenai tindakan penganut ajaran itu mengganggu ketenteraman awam secara fizikal atau cuba menyebarkan pegangan mereka secara terang-terangan kepada penduduk kampung," katanya.

Imam Satu Masjid Kampung Nakhoda, Mohamad Zaid Mohamad Amran, pula berkata pihak pengurusan masjid menafikan dakwaan rumah ibadat itu terbabit atau dijadikan pusat keagamaan dan aktiviti ajaran Qadiani membabitkan warga asing.

"Pihak masjid kekal membantah sebarang penularan ajaran Qadiani di tempat kami.

"Masjid Kampung Nakhoda tidak pernah menyokong atau menyebarkan ajaran Qadiani, malah kami tidak memberi ruang langsung kepada pengikut ajaran terbabit menggunakan rumah ibadat ini untuk kegiatan mereka," katanya.

Empat rumah terbakar di Ampangan, bomba kesan mangsa

NUR SHARIEZA ISMAIL
Kebakaran melibatkan empat buah rumah separuh kekal di belakang UTC Ampangan. Foto Ihsan Bomba.
SEREMBAN – Empat rumah separuh kekal di belakang UTC Ampangan, di sini, musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.17 malam.

JBPM berkata jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.22 malam, kira-kira lima minit selepas menerima panggilan.

“Komander operasi setibanya di lokasi mendapati benar berlaku kebakaran membabitkan empat rumah separuh kekal berkeluasan 72 kaki x 30 kaki yang musnah hampir 80 peratus.

“Kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan menggunakan tiga aliran hos. Operasi membabitkan anggota dari BBP Seremban dengan bantuan BBP Ampangan dan BBP Seremban 2,” katanya di sini hari ini.

JBPM berkata, rumah terbabit dilaporkan berpenghuni dan kerja-kerja mencari serta menyelamat sedang dijalankan.

“Operasi pemadaman berjaya dikawal pada pukul 8.40 malam, namun operasi masih diteruskan ketika laporan dikeluarkan.

“Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nota tiga halaman jadi bukti penting siasatan kematian pelajar

Agensi

New Delhi: Polis India menyiasat nota tiga halaman yang ditemui di dalam beg sekolah seorang pelajar perempuan susulan kematiannya di sebuah sekolah di Krishna Nagar, timur Delhi pada Sabtu.

Pelajar berusia 17 tahun itu ditemui maut dengan kesan terbakar di kawasan belakang pondok keselamatan Sekolah Sarvodaya Kanya Vidyalaya, Shahdara, Delhi.

Memetik laporan NDTV, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menggunakan bahan menyerupai petrol untuk mencetuskan kebakaran, namun polis masih menyiasat punca yang membawa kepada kematiannya.

Nota tiga halaman yang ditemukan itu kini menjadi antara bahan penting dalam siasatan awal polis, malah pihak berkuasa itu dijangka meneliti kandungan nota terbabit bersama bukti lain bagi menyusun kronologi kejadian.

Terdahulu, guru sekolah itu menghubungi polis selepas menemukan beberapa barangan mencurigakan susulan kematian mangsa, namun pihak berkuasa belum mengesahkan jenis barangan berkenaan.

Pasukan siasatan jenayah polis turut dipanggil ke sekolah terbabit untuk memeriksa lokasi kejadian dan mengumpulkan bahan bukti yang menentukan punca sebenar kematian mangsa.

Kejadian berkenaan mengejutkan pihak pentadbiran sekolah dan pelajar, manakala keluarga mangsa masih berusaha memahami apa yang berlaku.

Kakak mangsa berkata, dia melihat adiknya keluar ke sekolah pada hari kejadian dalam keadaan ceria.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku," katanya memaklumkan keluarga menerima panggilan daripada pihak sekolah berhubung kejadian pada 1.40 tengah hari.
- hmetro