"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Najib enggan dedah kenapa BN kalah di Permatang Pasir

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tahu faktor yang menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir semalam tetapi enggan mendedahkannya.

Menurut beliau, BN telah mencuba yang terbaik pada tetapi ada faktor tertentu yang menyebabkan kekalahan itu.

Bernama melaporkan, Presiden Umno itu juga enggan mengulas apakah kesilapan yang telah dilakukan BN pada pilihan raya berkenaan.

Beliau hanya dilaporkan berkata: "Saya tahu apa sebabnya".

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan isu yang melibatkan calon mereka, Rohaizat Othman, juga menjadi faktor kepada kekalahan BN.

7 Mac tahun lalu, pendaftaran Rohaizat sebagai penguambela dan peguamcara dibatalkan oleh jawatankuasa disiplin Majlis Peguam.

Beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi berikutan keputusan Majlis Peguam itu, di mana mahkamah menolak rayuannya 12 Ogos lalu.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, salah laku yang menyebabkan beliau dipecat melibatkan wang pemegang amanah Koperasi Pekebun Getah.

Walaupun Muhyiddin mengaitkan isu Rohaizat sendiri antara faktor kekalahan BN, Pengarah Pilihan Raya BN yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelihatan tidak sependapat dengan Muhyiddin.

"Penduduk memberi mesej bahawa mereka tidak mahukan perubahan, jadi kita jangan salahkan calon, jangan juga salahkan jentera," sebuah akhbar harian memetik Menteri Pertahanan itu berkata.

Rohaizat sendiri meletakkan kegagalan pengundi Cina menunaikan janji untuk menyokongnya sebagai punca kekalahan.

"Saya sedih dengan hakikat bahawa masyarakat Cina di sini gagal menunaikan janji mereka untuk menyokong.

"Mereka gagal memahami konsep pembangunan yang cuba dibawa oleh BN kepada rakyat Permatang Pasir," Malaysian Insider memetik beliau berkata.

Calon PAS, Ustaz Mohd Salleh Man menang dalam pilihan raya kecil itu dengan mendapat 9,618 undi berbanding 5,067 diperolehi oleh Rohaizat.

Beliau menyifatkan kejayaannya itu membuktikan kerjasama erat antara komponen Pakatan Rakyat (PR) yang sentiasa menjalin hubungan baik.

"Saya yakin Pulau Pinang akan terus kekal di bawah kerajaan PR," katanya.

Tiada ulasan: