"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua beradik perempuan pakat lari dari rumah

HILANG...Nooranalina (kanan) dan adiknya, Noorsyafinas.
HILANG...Nooranalina (kanan) dan adiknya, Noorsyafinas.
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri kini tertekan apabila dua anak perempuan mereka dipercayai berpakat melarikan diri dari rumah sejak Khamis lalu.

Abdul Rahim Yacob, 52, berkata anaknya, Nooranalina, 18, hilang sehari selepas adiknya, Noorsyafinas, 15, meninggalkan rumah mereka di Jalan Air Keroh, Cheras, di sini, selepas keluar untuk membeli kad prabayar telefon di kedai berhampiran.

“Kira-kira jam 9 malam pada 4 November (Khamis) lalu, Norsyafinas enggan mengikut kami berniaga dan tinggal di rumah bersama kakak sulungnya, Noorasyikin, 20, di rumah.

“Namun, sejam selepas itu kami menerima panggilan Noorasyikin mengatakan adiknya tidak balik ke rumah selepas meminta izin keluar membeli kad prabayar,” katanya.

Panik dengan kejadian itu, beliau sekeluarga pulang ke rumah untuk mencarinya di kawasan sekitar, namun hampa kerana kelibatnya tidak kelihatan.

“Peliknya, sehari selepas Noorsyafinas hilang, Nooranalina pula buat hal sama. Dia hilang di tempat kami berniaga buah-buahan iaitu di Dataran Merdeka selepas pergi ke tandas. “Namun sebelum itu, abangnya ada ternampak empat motosikal mendekatinya, tetapi tidak sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan terbabit dan mereka lesap hingga hari ini,” katanya.

Abdul Rahim berkata, sebelum ini kedua-dua anaknya itu pernah keluar dari rumah bersama, tetapi ditemui semula.

“Kehilangan mereka sudah banyak kali dan sebelum ini pernah ditemui di Selayang dan Petaling Jaya.

“Mereka berdua macam belangkas dan saling menyimpan rahsia supaya tak diketahui kami sekeluarga sebab itu saya syak mereka berdua berpakat melarikan diri bersama,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan jika terdapat individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas mereka untuk melakukan jenayah.

Nooranalina dilihat kali terakhir memakai baju dan seluar jeans berwarna gelap manakala adiknya memakai baju-T dan seluar jean berwarna biru. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran.
-hmetro-

Tiada ulasan: