"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS cadang wujudkan Akta Anti Perkauman

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 16 Mac: PAS mencadangakan agar Akta Anti Perkauman diwujudkan bagi membendung agenda 'perkauman sempit' yang dimainkan pihak tertentu.
Sewaktu membahas Titah Diraja semalam, ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof berkata, isu perkauman pada waktu ini semakin kuat dimainkan pihak tertentu semata-mata untuk mereka terus kekal berkuasa.

"Kita harus mengorak langkah untuk perkenal Akta Anti Perkauman kerana akta ini akan membantu supaya pihak-pihak yang mempunyai agenda perkauman sempit dapat dikawal," katanya.

Beliau yang juga penasihat Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) berkata, hubungan antara kaum di Malaysia sepatutnya berada di tahap terbaik apatah lagi sudah lebih 50 tahun mengecapi kemerdekaan.

Usaha-usaha untuk cuba menanam kebencian terhadap kaum lain juga sewajarnya tidak dilakukan oleh mana-mana pihak.

"Apa yang menyedihkan kita, selepas 50 tahun merdeka, masih ada lagi pihak-pihak tertentu menggariskan politik perkauman sempit malah menjadikan politik perkauman sebagai pertaruhan demi untuk mereka berada di persada kuasa", tambahnya.

Apatah lagi ujarnya, pihak tertentu itu juga menggunakan elemen perkauman itu untuk mentakrifkan semangat patriotik.

"Sehingga patriotik itu dianggap milik eksklusif pihak tertentu dan mereka yang berbeza pandangan (dengan mereka) dianggap tidak patriotik dan tidak cintakan negara,"katanya lagi.

Katanya, fahaman sebegitu perlu dibuang kerana semangat cintakan negara adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum.

Selain itu, beliau juga mencadangkan Akta Suruhan Media bagi mengawal media agar bebas dan bertanggungjawab.

Akta Orang Asal pula katanya perlu diberi nafas baru agar tidak berlaku pencerobohan tanah.

Tiada ulasan: