"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li syor s'jaya diraja siasat pembekal kuasa

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji dan menyiasat syarikat pembekal kuasa tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa mengaut keuntungan berpuluh kali ganda.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan TNB menanggung kos perbelanjaan yang tinggi dan sekaligus membebankan kehidupan rakyat menerusi tarif baru elektrik yang berkuat kuasa 1 Jun lepas, selepas mendapat persetujuan kerajaan apabila membuat semakan semula harga gas.

"Suruhanjaya berkenaan penting bagi memberi keadilan kepada rakyat walaupun kenaikkan tarif eletrik itu hanya membabitkan 4.4 juta pengguna domestik di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Limau Kasturi dekat Gua Musang semalam.

Beliau mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap bebanan hidup rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah termasuk masyarakat kampung di seluruh negara kerana turut menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.

“Suruhanjaya itu hendaklah menyiasat dan membuat kajian langkah yang perlu diambil kerajaan terhadap bebanan hidup rakyat hasil daripada kenaikan tarif elektrik ekoran syarikat pembekal kuasa elekrik menjual dengan harga terlalu tinggi," katanya.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata walaupun tidak semua pengguna menanggung beban kenaikan tarif elekrik itu, namun penduduk juga akan turut merasai bebanan terutama kenaikan harga barang.

Katanya ini kerana peniaga besar yang terbabit dengan kenaikan tarif baru elekrik sudah tentu akan menaikkan harga barangan pengeluaran mereka disebabkan kos yang meningkat termasuk juga pengangkutan.

“Kita harus berlaku adil dalam menyelesaikan masalah itu kerana saya melihat sekarang ini syarikat pembekal kuasa tenaga elektrik kepada TNB menopoli keuntungan berpuluh kali ganda disamping mendapat subsidi pula daripada Petronas,” katanya.

Bagaimanapun beliau turut menasihatkan rakyat supaya jangan menuduh kerajaan yang sengaja menaikkan harga barang keperluan di pasaran termasuk gula, minyak masak dan bahan bakar kerana semuanya bergantung kepada harga naik turun di pasaran dunia.

“Kita tidak mempunyai banyak bahan mentah untuk minyak masak dan gula, begitu juga bahan bakar yang terpaksa diimport dari negara luar hingga berlaku kenaikan yang perlu ditanggung bersama,” katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: