"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar turut serta Bersih 2.0 pada 9 Julai


PORT DICKSON: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau akan turut serta bersama-sama rakyat dalam perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai hadapan di sekitar ibu negara Kuala Lumpur.
“Saya nak pesan tentang Bersih 9 Julai. Saya, Tuan Guru Haji Hadi dan YB Lim Kit Siang akan turut serta bersama-sama (berhimpun) menyatakan pandangan kita,” kata Anwar.
Beliau membuat kenyataan itu sewaktu berucap di hadapan kira-kira 2,000 hadirin pada Ceramah Perdana di Kampung Si Rusa, Batu Empat, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Bersih 2.0 yang akan berlangsung 9 Julai ini di sekitar ibu negara diadakan kerana tuntutan Bersih terdahulu yang antaranya mahukan satu reformasi pilihan raya yang adil dan pembersihan daftar pengundi masih lagi belum dipenuhi SuruhanJaya Pilihan Raya (SPR).
Pada ceramah yang sama, Anwar sempat mengingatkan hadirin bahawa pilihan raya umum akan datang adalah masa yang terbaik untuk bekerja keras memastikan Umno dan Barisan Nasional ditumbangkan dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini kerana, kata Anwar, hanya sedikit sahaja usaha lagi diperlukan untuk memastikan Umno BN kalah dalam pilihan raya akan datang.
“Pilihan raya akan datang, kesempatan untuk kita yang cukup baik.
“Nak push sikit sahaja lagi. Negeri Sembilan, (kita memerlukan) empat atau lima kerusi (Parlimen sahaja lagi), jalan (Menteri Besar) Mohamad Hassan.
“Parlimen, kita nak dua atau tiga kerusi sahaja lagi.Insya Allah mereka jalan.
“Dulu kita kalah sebab Sarawak dan Sabah. Sekarang kalau ada pilihan raya, Sarawak sekurang-kurangnya ada 10 dalam tangan.
“Dua kerusi di Negeri Sembilan, dua di Selangor, satu di Kedah, satu di Perak, dua di Terengganu, tergulinglah Umno,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh daripada hadirin yang mendengar ceramahnya.
Pada majlis yang sama, Anwar juga sempat menyempurnakan simbolik pemakaian baju T Bersih 2.0 kepada beberapa ahli KEADILAN Port Dickson sebagai tanda penglibatan mereka dalam perhimpunan Bersih 9 Julai ini.

Tiada ulasan: