"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Karpal sekat hudud: Saifudin kata Dr Mahathir haprak

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) sebagai ahli politik yang haprak apabila menuduh Karpal Singh berjaya menyekat PAS laksana hudud.


Ini kerana, ketika Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang jenayah Syariah II yang di dalamnya terkandung undang-undang hudud, Dr Mahathir yang menyekat pelaksanaannya.

Ia disekat melalui satu surat amaran yang dihantar beliau selaku Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pada tahun 1993 lalu.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990.

Selepas muktamar PAS baru-baru ini, Tun Dr Mahathir melalui blognya menulis dengan berkata, Karpal yang berjaya menyekat mendirikan negara Islam yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah tercapai.

"yang menang besar ialah tokoh yang tidak hadir dan bukan pun ahli PAS. Ianya ialah Karpal Singh. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam PAS yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai," tulis Mahathir.

"Dr M hantar surat amaran kepada TG Nik Aziz jangan laksana hudud, aneh hari ni Dr M kata Karpal berjaya sekat PAS jalankan hududd...haprak!" tulis Saifudin (gambar kanan) dalam Twitternya.
Bagi beliau, Dr Mahathir tidak layak bercakap Karpal anti Islam.

"Mesej saya mudah Dr M tak layak langsung cakap Karpal anti Islam sebab rekod Dr M sendiri paling membenci Islam," tegas Saifudin yang juga anggota Parlimen Machang, Kelantan.

Menurut beliau, Dr Mahathir pernah berkata kalau dibuat hukum hudud habis orang Islam mundur sebab kena potong tangan..."hari ini Dr Mahathir salahkan Karpal."

Bagi beliau, Karpal sekurang-kurangnya tidak menyekat bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat namun Dr Mahathir membuatnya!

"Sebab katanya sekolah agama ajar murid benci pemerintah ...siapa sebenarnya benci Islam?" soal Saifudin.

Bagi Saifudin, kalaupun Karpal tolak negara Islam dan Hudud beliau boleh memahaminya sebab dia bukan Muslim, tetapi Dr Mahathir tentang negara Islam dan Hudud, ini yang beliau tidak dapat faham.

Surat Dr Mahathir

Surat Dr Mahathir sampai kini masih diingati oleh Tuan Guru Nik Aziz hatta dalam satu majlis baru-baru ini.

“(Tun) Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan.

“Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran… Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua,” katanya.

“Kalau kerana hukum hudud, satu Kelantan kena Mageran… dan kerajaan Kelantan nak digantung oleh kerajaan pusat, (jadi) itu tak cerdik,” kata Nik Aziz dalam satu dialog bersama penulis blog dan facebook di Hotel Grand Season di ibu negara, baru-baru ini.

Mursyidul am PAS itu berkata, sekiranya ketiadaan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut, maka tidak boleh ditinggalkan semua undang-undang berkenaan.

Dengan mengumpamakan tindakannya itu sebagai seguni beras, katanya, sekiranya tidak mampu untuk membawanya, maka “diambil secupak-secupak” sehingga habis.

“Oleh itu, kita tak laksana hudud (keseluruhan), tetapi kita laksana (Islam) satu persatu. Alhamdulilllah kaum Cina dan India menyokong PAS,” katanya yang mendapat tepukan kira-kira 130 penulis blog dan pemilik Facebook.

Tiada ulasan: