"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Mohd Sabu?

BayangDiAir
Penulis mengharapkan Ustaz Tuan Ibrahim menjadi Timbalan Presiden PAS. Namun penulis tak lupa bakti dan jasa Ustaz Nasarudin Mat Isa dalam menggerakkan hala tuju PAS selama ini. PAS terus maju dan bersifat kotemporari atas usaha, idea dan gerakerja beliau.

Kini ternyata yang menang ialah aktivitis politik tersohor iaitu Mohd Sabu. Itulah keputusan perwakilan yang tak sama dengan harapan penulis. Sikap penulis kini ialah sesiapa sahaja yang terpilih daripada Presiden hingga AJK-nya, itulah pemimpin yang penulis berwala'. Bukan kerana terpaksa wala’ tetapi kerana penulis berbangga akan setiap pemimpin yang berjuang untuk Islam.

Masing-masing punya kekuatan dan kelebihan sendiri. Siapa yang dapat menafikan kekuatan Ustaz Nasarudin biarpun pernah dihenyak dengan pelbagai tohmahan. Kalau tidak ada kekuatan tersendiri masakan perwakilan PAS memilih beliau untuk beberapa penggal. Mohd Sabu juga ada kelebihan dan kekuatan sehingga nampak benar kegusaran UMNO dan media mereka. Walaupun belum layak untuk mengkategorikan beliau sebagai ulama, namun ilmu agama yang beliau miliki dan tarbiyah yang diterima, membolehkan beliau menjadi seorang ustaz kalau duduk di dalam UMNO.

Benar akademik beliau tidak setinggi mana namun lebih tinggi daripada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri yang pernah diangkat oleh orang-orang UMNO suatu ketika dahulu. Kelayakan akademik bukanlah satu-satunya ciri pemimpin yang cemerlang. Kecemerlang atau tahap pencapaian KPI diukur dalam aspek ketangkasan dan keterampilan dalam melaksanakan tugas dan amanah.

Mohd Sabu ada kehebatan dalam berpidato bukan sahaja kerana surau garaunya yang bersemangat dan berapi-api, malah kebijakannya dalam menyusun isu dan fakta dengan bahasa mudah. Mendengar ucapan Mohd Sabu akan menyedarkan kita tentang kelemahan bangsa Melayu yang perlu dibaiki, peranan yang perlu dilaksanakan hinggalah kepada kedurjanaan puak penguasa. Faktor yang sekali-sekala diselit dengan gurau senda inilah menjadi ‘crowd puller’ setiap ceramah yang disampaikannya.

Kini Mohd Sabu menjadi pemimpin kedua tertinggi dalam gerakan Islam PAS di Malaysia. Imej gerakan Islam turut dikaitkan dengan para pemimpinnya. Sebarang sumbing dan tiris pada diri pemimpin akan memalitkan batang tubuh gerakan sendiri. Kalau tak sumbing pun, musuh akan mereka-reka sumbingnya. Justeru itu, Mohd Sabu mesti berhati-hati dan memperbaiki tingkah dan ucapannya. Jangan sampai Utusan dan TV Porno yang menggemari fitnah seks berpeluang mencipta slide dan video clip terbaru. Jangan biar bahasanya nanti dimanipulasi hingga tak ternafi.

Dari segi gerakerja dan pencapaian KPI, Mohd Sabu wajar membaiki segala kelemahan. Penyakit kalau ada perlu disembuhkan segera dalam semangat untuk membantu Presiden. Jangan nanti sokong membawa rebah kerana semangat yang berkobar-kobar tak sama dengan keterampilan. Jangan nanti ahli-ahli merasakan tersilap membuat pilihan. Inilah cabaran yang mesti disahut oleh hulubalang jihad ini. Mungkin kezaliman dan penipuan UMNO/BN yang semakin melampau sekarang memerlukan gema dan gerakan jihad yang lebih padu. Awas, PAS/Pakatan Rakyat mungkin terlepas negeri dan banyak kerusi nanti hanya kerana penipuan SPR, undi pos, JPN dan sebagainya. Pemilihan Mohd Sabu menggambarkan ahli tidak mahu lagi berpeluk tubuh berputih mata dipermainkan oleh demokrasi tempang. Bukan sekadar Perhimpunan 9 Julai, ahli-ahli PAS mahu lebih daripada itu. Antaranya ialah enam tuntutan wajib dilaksanakan sebelum PRU13. Selebihnya, fikirkanlah sendiri.

Tiada ulasan: