"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bimbang Zul Noordin 'sesat lagi menyesatkan'?

YB Dr Dzulkefly Ahmad
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru (KKB) bukan sahaja tidak asing dengan kontroversi, bahkan umum mendakwa beliau sinonim dengan "pembohongan" dan memfabrikasi atau merekacipta pelbagai 'fakta' untuk mensensasi pengkisahan apa jua cerita yang tidak masuk akal.

Kalau semasa bersama parti lamanya pun telah banyak kontroversi beliau cetuskan, antara lainnya, tambahan cerita 'rempah-ratus' tentang simptom keracunan arsenik Dato' Seri Anwar Ibrahim sehingga penulis (berkebetulan seorang toksikologis) malu mendengarnya dan juga tentang hal-hal gejala murtad, apatah lagi hari ini beliau kononnya menjadi ahli parlimen bebas. Pembohongannya meningkat kepada "kesempurnaan".

Khamis, 20 Okt, dalam membahaskan Belanjawaan 2012, beliau sekali merancang untuk mengulangi gelagat kesukaannya. Penulis, yang berada di ruang makan MP terpaksa bergegas masuk mendengar perbahasan beliau dan tidak sempat lagi menghabiskan makan tengahari.

Malang sekali, dewan sudah terlibat dengan satu "shouting-match" ketika penulis memasuki dewan setelah cubaan awal MP Kubang Kerian mencelah dan minta penjelasan tidak lagi dilayani KBB.

Dua perkara utama yang dipertikai KBB lantas membuat kesimpulan dan menuduh Enakmen Syariah Terengganu (2003) dan juga Kelantan (1993) itu sebagai hudud PAS, adalah bersabitan definisi mukallaf dan liwat.

Dalam menghuraikannya, jelas beliau tidak langsung menunjukkan mempunyai ilmu khususnya Syariah dan juga Undang-Undang Islam (Qanun). Sebaliknya, KBB berniat jahat (mala fide) dalam membawa isu ini bagi menjatuhkan kredibiliti Enakmen Syariah (Terengganu dan Kelantan), sekali gus maruah PAS sebagai sebuah parti dan jamaah Islam yang mendukungi cita-cita melaksanakan Syariah Allah.

Menyebut "mukallaf", KBB mendakwa enakmen tersebut bercanggah dengan Islam khususnya mengenai umur akhil baligh, apabila perlaksanaan hudud hanya dikenakan ke atas mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Menurutnya, "dengan hanya akan melaksanakan enakmen tersebut terhadap mereka yang berumur 18 tahun ke atas, ini bermaksud PAS mengubah hukum Islam yang mengatakan seseorang lelaki akhil baligh setelah bermimpi, manakala perempuan pula setelah datang haid".

Katanya, "setelah berusia 15 tahun tidak juga bermimpi atau datang haid bermakna mereka dikira mumayyiz dan sampai umur serta boleh dilaksanakan undang-undang Islam terhadap mereka."

Terpapar kejahilan seorang yang selama ini memberi persepsi kepada umum bahawa dia arif agama, khususnya perundangan Islam.

Pertama, ternyata KBB tidak punya pengetahuan hatta tentang mumayyiz dan jahil bahawa penetapan persoalan mukallaf dalam enakmen adalah tertakluk kepada 'ijtihad' bukan satu 'tetap-thabit' yang punya nas qat'ie. Mumayyiz adalah umur yang boleh membezakan (sin al-tamyiz) baik-buruk dan lazimnya digunakan dalam perbincangan fiqh untuk kanak-kanak di sekitar umur 7-8 tahun. KBB semacam tiada pengetahuan langsung perkara ini.

Beliau melemparkan tuduhan bahawa enakmen itu 'hudud PAS', bukan "hudud Islam sebenar" kerana kononnya "telah mengubah hukum Islam’. Tegas beliau, "ini jelas bercanggah dengan Islam yang mewajibkan dilaksanakan hudud setelah seseorang itu mumayyiz iaitu mencapai usia 15 tahun." Beliau menyanggah enakmen ini kerana menetapkan umur mukallaf sebagai 18 tahun.

KBB tidak ada pengetahuan tentang pandangan imam-imam mazaahib. Jumhur ulama termasuk menetapkan 18 tahun sebagai umur matang atau mukallaf (sin al-rashd). Pokoknya, urusan menetapkan umur itu adalah satu perkara ijtihadi, bukan satu yang tetap (thabit).

Orang yang ada sedikit pengetahuan tentang Syariah dan Perundangan atau Qanun Islam akan tahu bahawa ia perlu diqanunkan dalam proses legislatif untuk menjadi undang-undang dalam sebuah negeri dan negara. KKB menyerlahkan kejahilan bila mempertikaikannya.

Penetapaan perkara-perkara seperti mungkin sahaja akan mengalami perubahan kerana perhitungan itu termasuklah mengambil kira hal-hal adat dan budaya setempat sesuai dengan kaedah usul fiqh – "Al-Adat Muhakkamah". Itu yang menyebabkan Imam Shafie membuat perbezaan ijtihad dalam urusan "Sin al- At-Taqaa'ad" - umur putus haid yang berbeza semasa di Baghdad (Qaul Qadim), Iraq berbanding Kaherah, Mesir (Qaul Jadid). Semua ini perkara-perkara ijtihady atau "umurud ijtihadiy".

KBB lalu menghukum Enakmen Syariah (Terengganu dan Kelantan) sebagai Hudud PAS kerana menetapkan umur 18 tahun sebagai takrif Mukallaf (sin al-rashd) atau "Age of Maturity". Malang bagi seorang yang ada pendidikan Undang-undang Common-Law, langsung buta dan jahil tentang Undang-undang Islam.

Cubaannya untuk menjatuhkan kredibiliti Enakmen Syariah Terengganu dan Kelantan tentang Hudud adalah lebih jahat lagi. Usaha beliau untuk mencemar enakmen itu sekali gus menjatuhkan kredibiliti Syariah Islam mengikut tanggapan umum.

Dengan merujuk Seksyen 14 Enakmen Syariah Terengganu yang menyebut bahawa takrif tentang liwat, antara lainnya, ialah hubungan seks antara lelaki dan wanita, di mana seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri.

Katanya, perkataan 'kecuali isteri' itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat. KBB mendapat peluang menegaskan perkara ini tatkala MP Kinabatangan melambungkan soalan dengan kembali bertanya, "Apakah hudud PAS mengizinkan suami meliwat isterinya?"

"Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam. Dalam Islam, jika seseorang lelaki itu memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang, tidak kira dengan sesiapapun termasuk isteri sendiri, ia tetap liwat. Tetapi dalam hudud PAS, itu tak dikatakan liwat. Maknanya suami boleh berbuat begitu dalam hudud PAS walaupun jelas bercanggah ajaran Islam," katanya.

Dengan itu, menurut beliau, enakmen tersebut bukanlah undang-undang Islam, tetapi hudud PAS yang dibuat oleh mereka yang kononnya tidak faham dengan undang-undang Islam, tetapi hanya berlagak pandai untuk kepentingan politik.
KBB benar-benar bukan hanya mempamerkan kejahilan tentang undang-undang Islam tetapi juga tidak tahu membaca undang-undang umumnya.

Seksyen 14 itu membawa maksud "proviso" atau "pengecualian" (istisna’). Bermaksud liwat ditakrifkan sebagai hubungan seks antara lelaki dan wanita, di mana seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri.

Ini bukan bermaksud ke atas isteri itu di bolehkan, tetapi bererti memasukkan zakar dalam dubur isteri itu tidak jatuh dalam hukum hudud seperti yang lain, tetapi tetap ia satu kesalahan yang termasuk dalam hukum takzir.

Hukum hudud memerlukan pembuktian yang terlalu berat, justeru kerana mungkin sahaja boleh timbul syubahah di antara suami isteri, maka Ulama tidak meletakkan kesalahan suami ke atas isterinya itu dalam hukum hudud tetapihHukum takzir, yang proses pembuktiannya lebih ringan untuk disabitkan hukuman. Namun ia tetap salah dan berdosa sebagai satu jenis jarimah atau jenayah syariah dalam Islam.

Perkara sama pernah dibangkitkan bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Zaid Ibrahim (Utusan Malaysia, 30 Ogos 2003) dan telah pun dijawab Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato Harun Taib. KBB dan seangkatan dengannya, jelas jahil dengan perundangan Islam. Itu masih boleh dimaafkan kalau kita bersedia belajar. Tetapi bertegas akan pendirian itu adalah sangat membimbangkan; takut-takut menjadi "sesat dan menyesatkan", seperti disebut Rasulullah, "dhollu wa adhollu"!

Kami akan mengusulkan agar KBB dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk diadili atas segala usaha beliau menyelewengkan Dewan Rakyat pada perbahasan belanjawaannya itu.

Allahu A'lamu bit-Thawab!

Tiada ulasan: