"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN bakal kecundang di Pahang

SAFAR JUMAAT
APA yang ditunjukkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin setakat ini, memang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah semakin dekat.

Kekerapan mereka berdua turun padang, dengan pelbagai nama setelah Program Umno Juara Rakyat gagal, memperlihatkan bahawa rakyat sedang ditaburkan dengan gulagula dan janji manis untuk terus memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada BN.

Cuma, Najib tentulah tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa yang amat sangat terhadap sambutan yang dijanjikan seramai 15 ribu orang ketika menjejakkan kaki buat pertama kali di Dun Gombak Setia, bersebelahan Al-Taqwa Restoran yang dikatakan tempat penyokong-penyokong PAS bersantai, hanya dihadiri sepertiga daripada audien yang dijanjikan.

Khabarnya sibuk kepimpinan Umno Bahagian Gombak membuat laporan untuk diserahkan kepada Najib mengapa jadi begitu kerana permintaan mereka supaya Najib turun ke Dun Gombak Setia ditunaikan, padahal Najib diberitakan lebih berminat untuk ke Dun Batu Caves, yang terletak bersebelahan dengan Dun Gombak Setia.

Dari mereka yang dekat dengan kepimpinan Umno memberitahu, jika Najib dibawa turun ke kawasan tertentu, sekurang-kurangnya 15 ribu audien hendaklah berada di kawasan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap BN sudah kembali meningkat.

Malangnya, ketika Najib begitu ghairah menuntut jumlah tersebut, pengundi-pengundi di Dun Gombak Setia dan Parlimen Gombak menunjukkan sikap berlainan sama sekali. Mereka tidak bersedia untuk menyambut kehadiran Najib dan mereka tidak mahu “menjamah gula-gula yang ditaburkan” menjelang PRU13.

Sebagai catatan, PM dan TPM dilihat akan turun ke kawasan yang tidak dimenangi BN dalam PRU12 bagi mengembalikan semangat kepada jentera parti, agar bekerja kuat bagi merampas kembali Dun-Dun tersebut, bagi menjanjikan mereka kembali berkuasa di Selangor dan negerinegeri yang terlepas ke tangan Pakatan Rakyat.

Ekoran dari kegagalan kepimpinan Umno Bahagian Gombak memberi sambutan bergaya kepada Najib, khabarnya cadangan membawa Muhyiddin ke Parlimen Selayang, minggu ketiga bulan ini, dibatalkan.

Muhyiddin akan dibawa “untuk turun ke padang” di kawasan Sepang, bagi menjanjikan ada sekitar 10 ribu audien menyambut kehadirannya. Jika Najib mesti disambut 15 ribu audien dan Muhyiddin mesti disambut 10 ribu audien, nampaknya menterimenteri kabinet tidak berani menetapkan jumlah audien untuk datang ke satu-satu kawasan, kerana jumlah yang besar agak mustahil dapat diadakan.

Dari perkiraan mudah, kata beberapa orang pemerhati politik, jika Gombak boleh dimenangi BN, Ampang Jaya dan Selayang juga akan kembali ke tangan BN. Tetapi jika Gombak tidak mampu ditawan, Ampang Jaya dan Selayang seperti tidak ada harapan langsung untuk dirampas kembali.

Walau apa cara sekali pun Najib, memang mahu BN merampas kembali Selangor daripada tangan Pakatan Rakyat.

Ini kerana Selangor merupakan negeri termaju dan Najib pula memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Jika Umno negeri di bawah tangan Najib pun masih sukar dikuasai 100 peratus kerusi yang ditandinginya, apalah yang hendak diharapkan di negerinegeri yang diketuai oleh mereka yang bukan Perdana Menteri dan merupakan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang lemah, tercemar dengan imej kotor dan rasuah.

Sambil berjenaka, seorang penganalisis politik berkata; Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Kedah terlepas ke tangan pembangkang sedangkan Dr Mahathir datangnya dari Kedah.

Kemudian, Pulau Pinang, negeri di mana datangnya Tun Abdullah Ahmad Badawi pula tumbang ke tangan Pakatan Rakyat dan kali ini, mereka sedang menanti apakah Pahang, negeri di mana datangnya Perdana Menteri akan tumbang atau Selangor di mana negeri yang Umnonya dipimpin Najib akan rebah.

Najib dalam pembentangan Bajet 2012 yang lalu telah cuba sedaya upaya untuk menghulurkan wang secara terus kepada pengundi melalui pelbagai mekanisme, kerana beliau pastinya tahu yang rakyat sudah bersedia menolak BN.

Khabarnya, Muhyiddin semakin kerap mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Umno Bahagian khususnya Ketua, Timbalan, Naib, Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, tetapi apa yang dikutipnya dari maklum balas tersebut, BN tidak akan kembali berkuasa selepas PRU13.

Jangan hairan jika waktu ini Najib mengatakan pembahagian semula kawasan pilihan raya akan dikaji semula kerana Umno sedaya upaya mahukan beberapa kerusi yang selama ini menjadi milik MIC, Gerakan dan MCA, mesti diserahkan kepada Umno.

Contoh paling ketara Dun Batu Caves yang sejak sekian lama diwakili calon MIC kini sudah cuba direbut oleh calon Umno.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang sejak kewujudannya diwakili MCA sedang diusahakan untuk diberikan kepada Umno dengan alasan KeADILan memenangi kerusi itu kerana meletakkan calon Melayu.

Usaha juga sedang dirancang untuk meminta Umno yang bertanding kerusi Parlimen Selayang jika mahu BN kembali menguasai kawasan tersebut.

Ini hanya beberapa kawasan yang boleh dijadikan contoh di mana Umno sudah merasakan mereka jauh lebih kuat dari MCA, MIC dan Gerakan selepas ancaman tsunami 2008.

Tiada ulasan: