"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kontrak cetak 100 juta keping RM2: Awang Adek diminta jelas salah laku

KUALA LUMPUR, 29 Jun: KEADILAN memberi tempoh tiga minggu untuk Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek menjelaskan dakwaan wujudnya penyiasatan terhadap salah laku beliau semasa menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, KEADILAN meragui hubungan Awang dengan seorang ahli perniagaan, Chung Hon Cheong, pemilik serta pengarah kepada syarikat SunPrestige Sdn Bhd dan Vertex United Sdn Bhd, berikutan beberapa transaksi kewangan yang membabitkan mereka berdua.

“Keraguan juga timbul berikutan terdapat fakta membuktikan beliau mempunyai hubungan dengan SunPrestige, yang memperoleh kontrak mencetak nota RM2.00 sebanyak 100 juta keping dari BNM,” jelas Ahli Parlimen Machang itu lagi dalam kenyataan.

Awang digesa untuk menjelaskan beberapa persoalan termasuk isu penjualan rumahnya di Damansara kepada Vertex United Sdn Bhd pada harga RM550,000.00 dalam tahun 1999 serta pembayaran penerbangan beliau ke Tokyo oleh Chung menerusi Ultimate Holidays Sdn Bhd untuk trip penerbangan dari 28 Jun 1999 hingga 1 Julai tahun yang sama.

“Awang juga perlu memberitahu kita benarkah isterinya membeli Honda Civic 1.6 menerusi Chung yang mana ansuran bulanan sebanyak RM2,122.00 sebulan turut ditanggung Chung?” soalnya.

Antara lain, Saifuddin turut menyebut sumbangan kepada beberapa buah persatuan yang dinaungi Awang, juga persoalan siapa yang membiaya pembelian rumah banglo dua tingkat di Tropicana.

Tambahnya, terdapat banyak lagi maklumat mengenai pelbagai pembayaran seperti insuran hartanah, cukai jalan, kereta, pengaturan permainan golf serta pembayaran bil telefon yang membabitkan Awang dengan Chung.

“Kes-kes ini seolah-olah menunjukkan, wujud hubungan rapat antara mereka supaya boleh dijadikan asas untuk Chung menggunakan pengaruhnya kepada pengurusan atasan BNM agar menganugerahkan kontrak kepada beliau,” ujarnya.

KEADILAN akan mengemukakan langkah susulan dan bukti-bukti tambahan selepas Awang membuat penjelasan serta mencabar beliau menafikan kewujudan ‘hubungan rapat’ itu.

“Awang Adek tidak seharusnya hanya berani mencabar Kelantan dalam isu Dinar, jawab dahulu cabaran kami!” tegas Saifuddin.

Tiada ulasan: