"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gempar bangunan KDN retak

Gempar bangunan KDN retak
Anggota bomba memberi penerangan kepada sebahagian kakitangan dan orang awam di bangunan itu, semalam. Gambar kecil: Bangunan Kompleks KDN mengalami rekahan, semalam.
AYER KEROH - Lebih 300 kakitangan dan orang awam di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, gempar apabila mereka diarah mengosongkan bangunan tersebut, petang semalam.

Arahan itu dikeluarkan untuk tujuan keselamatan berikutan jubin lantai bangunan berkenaan tiba-tiba tercabut.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, kira-kira 10 jubin di bilik jamuan tingkat empat berkenaan terangkat selepas mengeluarkan bunyi letupan kecil hingga menyebabkan beberapa kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang berada di situ segera keluar.

Pemeriksaan seluruh bangunan mendapati terdapat retakan kecil baharu pada dinding dalam pejabat setiap jabatan yang terdapat di bangunan berkenaan menyebabkan kakitangan dibenarkan pulang seawal 4 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah berkata, ketika kejadian, terdapat kira-kira 20 kakitangan AADK mengadakan jamuan di bilik tersebut.

“Siasatan awal mendapati, sebanyak 10 jubin di bilik makan itu merekah dan terangkat, selain beberapa kesan retakan kecil baharu di dinding.

“Berikutan itu 200 kakitangan daripada lapan agensi yang terdapat di sini bersama kira-kira 100 orang awam diarahkan mengosongkan kompleks ini dan berkumpul di sebuah kawasan lapang berhampiran, sebelum anggota Bomba dan Penyelamat Ayer
Keroh tiba kira-kira 3.15 petang untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya selepas membuat pemeriksaan dan mengadakan perbincangan bersama Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Sohami Mohamed; Juruukur Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Kristy Gelbert dan ketua setiap agensi di kompleks berkenaan, semalam.

Muhammad Koey berkata, pemeriksaan daripada 10 anggota bomba termasuk empat pegawai dan JKR mendapati, bangunan itu tidak mengalami sebarang kerosakan struktur bangunan kecuali retakan kecil dinding dan jubin di bilik jamuan terbabit.

“Kompleks KDN ini akan beroperasi seperti biasa esok (hari ini) selepas didapati selamat selepas pemeriksaan. Bagaimanapun, JKR akan mengarahkan pakar forensiknya memeriksa secara terperinci,” katanya.

Menurutnya, sebuah jentera dan anggota bomba akan ditempatkan di situ, selain kawasan bangunan dikawal Rela bermula malam semalam.

Tiada ulasan: