"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Yang aneh dan lucu dalam kempen Sungai Limau

Subky Latif
Apakah yang TPM Muhyidin kata dan maksud bajet berhubung gula dalam kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, tanggapan umum mengenainya ialah gula yang murah dan mudah mendapatnya boleh menyebabkan ramai rakyat hilang kedua kaki.

Maka orang terasa ia menyentuh kejadian yang menimpa Almarhum Tan Sri Azizan Razak yang selepas tamat perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Kedah hilang kedua kaki gara-gara penyakit kencing manisnya. Komplikasi itu membawa maut kepadanya dan PRK itu diadakan kerana mautnya.

Sama ada ia dimaksudkan atau tidak dimaksudkan, apabila dalam situasi berkabung di Sungai Limau, disentuh tentang gula, kencing manis, risiko hilang kaki, maka akan ingat Adun lima penggal Sungai Limau itu.

Kita tak boleh marah keluarganya tersinggung dan tidak boleh salahkan orang terasa ia menyindir orang tertentu apabila hal itu disebut.

Gula jadi mahal berkupang-kupang dari Bajet 2014 tiada kena mengena dengan menyelamatkan kaki rakyat, tetapi adalah kerana kerajaan tidak tertanggung beban sabsidi, yang mengikut Menteri Idris Jala lebih setahun lalu, beban sabsidi yang banyak menyebabkan risiko negara muflis menjelang tahun 2020.

TPM tahu hal itu, lalu mengapa gatal sentuh tentang gula menyebabkan kaki boleh hilang di tempat dan masa ada orang hilang kaki?

Anihnya ketika TPM merasionalkan gula terpaksa dimahalkan bagi menyelamatkan kaki rakyat, semasa kempen kerajaan di Sungai Limau menganjurkan pula kanival jualan murah beberapa makanan keperluan. Beras dan gula dijual kurang dari separuh harga. Gula seringgit sekilo. Macam harga lelong. Seperti pekedai hendak menghabiskan simpanan lamanya.

Kerajaan kempen jangan guna banyak gula supaya kaki tidak dipotong. Batalkan sabsidi dan mahalkan harganya supaya kaki dapat diselamatkan. Tiba-tiba rakyat Sungai Limau ditawarkan gula amat murah masa itu dan di situ saja. Bila gula murah dan mudah, adakah hendak memotong kaki semua rakyat di situ?

Karnival itu seolah anti kempen menyelamatkan kaki.

Mengapa tawaran itu dibuat di Sungai Limau saja dalam masa kempen itu saja? Karnival itu tidak adakan di tempat lain, baik masa itu atau masa lain?

Maka bukankah ia rasuah ketara untuk pilihan raya itu?

SPR kata ia tidak rasuah kerana lelong gula dan beras itu tidak menyeru pengundi mengundi calon tertentu dengan penjualan itu.

SPR tiada kata muktamat ada rasuah atau tidak. Yang lebih arif tentang rasuah ada atau tidak ialah SPRM. Dan berkuasa mensabitkan rasuah atau tidak ialah mahkamah. SPR tiada kuasa mendakwa dan menghukum perasuah.

Dan lucunya pula ialah jawapan Menteri Jamil Khir Baharom atas lelong karnival itu. Mengapa ia diadakan di situ saja dan tidak diadakan di lain-lain tempat? Mengapa ia diadakan masa kempen PRK itu saja dan tidak di masa lain?

Mengapa gula dan beras murah sangat?

Semua soalan itu adalah politik. Ia berlaku di tempat fiesta dan kempen politik. Implikasi soalan itu ialah tidakkah ia diadakan kerana politik? Tidakkah ia rasuah politik dan tidakkah ia untuk meraih undi dan faedah politik?

Jawab Jamil Khir ialah ‘Kebetulan.’

Orang tak tanya orang lain kerana orang lain bukan orang kuat agama dan tak tahu sangat agama. Yang tahu agama ialah dia. Orang hendak tahu jawapan dari seorang yang tahu agama. Orang tak tahu agama jawapannya karut saja. Jangan orang tahu agama bercakap macam orang tak tahu agama.

Itulah lucu dan anihnya.

Tiada ulasan: