"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Padah rogol anak rakan

Kuala Lumpur – Seorang bapa dua anak menerima balasan lebih berat atas perbuatan merogol anak rakan baiknya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meningkatkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 15 tahun.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk meningkatkan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen ke atas J Ravichandran, 43, seorang penyelia keselamatan, sebelum ini.

Azman turut mengekalkan hukuman lima sebatan dijatuhkan Mahkamah Sesyen selepas mendapati Ravichandran bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan, empat tahun lepas.

Keputusan menambah hukuman dibuat selepas mengambil kira mangsa yang ketika kejadian masih di bawah umur, faktor kepercayaan ibu bapa yang merupakan rakan baik tertuduh yang meninggalkan mangsa dalam jagaan tertuduh dan trauma yang dialami mangsa.

“Mahkamah meneliti fakta dan kes dalam perbicaraan penuh yang telah dijalankan. Mangsa dalam keadaan trauma cuba bunuh diri dengan mengelar tangan dan makan panadol dalam jumlah yang banyak.

“Tertuduh juga adalah pihak yang diamanahkan menjaga mangsa, mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam, hukuman pemberatan perlu diberikan bagi memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh malah kepada masyarakat.

“Mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan dan meningkatkan hukuman penjara 10 tahun kepada 15 tahun dan mengekalkan hukuman sebat lima kali,” katanya.

Azman bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan dan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh dikekalkan.

Pada 3 Oktober 2014, Mahkamah Sesyen Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan terhadap tertuduh selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Taman Bukit Mewah, Kajang, pada 2.30 petang, 23 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Seramai enam saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding perbicaraan kes itu yang bermula pada 30 Julai 2012.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar.
Bernama

Tiada ulasan: