Beberapa media dan agensi berita melaporkan dua wanita disyaki pembunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un ditemui mati.
Antara yang melaporkan demikian adalah Ketua Biro ABC News, Joohee Cho, di Kuala Lumpur.
Turut melaporkan demikian adalah wakil Channel News Asia, Michiyo Ishida yang memetik laman berita Kyodo News dari Jepun berkata mayat kedua-dua wanita itu telah ditemui.
Rakaman kamera litar tertutup CCTV turut menunjukkan rakaman seorang suspek di lokasi kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) yang tersebar meluas.
Wanita itu berambut panjang sehingga ke bahu dan memakai skirt dengan baju berwarna cerah dengan perkataan 'LOL' di bahagian depan dan sedang membawa satu beg tangan.
Sebelum ini, amalan ejen khas Korea Utara membunuh diri selepas menamatkan misi mereka sudah pernah dilihat beberapa kali.
Contohnya adalah Kim Hyun-hee, pengebom pesawat Korea Selatan pada 1987 yang mengikut arahan rejim Korea Utara.
Selepas melakukan tugasan yang menyebabkan 115 penumpang maut, Hyun-hee cuba membunuh diri tetapi gagal.
Sementara itu, portal Berita Harian Online memetik jurucakap polis Malaysia, Fadzil Ahmat beranggapan Jong Nam mungkin diracun menggunakan sehelai kain.
"Mangsa merasakan seseorang memegang muka beliau dari belakang. Beliau kemudian merasa pening," kata pegawai polis itu.
"Selepas diserang, beliau meminta bantuan di kaunter KLIA. Kami tidak pasti ia kain atau jarum."
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan