"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terima kasih 'halau' saya dari PAS, sindir Mahfuz

Ahli Parlimen Pokok Sena dari PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini 'berterima kasih' kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah atas nasihat beliau supaya keluar parti.

"Terima kasih Datuk Nik Amar kerana halau saya. Insya-Allah, saya akan terus bawa suara akar umbi PAS demi cinta serta sayang terhadap PAS.

"Tidak saya sangka kenyataan saya berkaitan pendirian PAS tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP mendapat perhatian Nik Amar dengan kenyataan yang amat memalukan PAS.

"Kenyataan Nik Amar yang menghalau saya keluar dari PAS amat mengejutkan kerana ia memperlihatkan watak 'gedebe' beliau," kata Mahfuz dalam kenyataan.

Semalam, Nik Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan menasihatkan Mahfuz supaya keluar dari PAS daripada terus mengkritik dan menyerang parti itu.

“Seelok-eloknya dia yang keluar, daripada jadi macam sekarang ini, tidak tahu ke mana, duduk dalam PAS tapi serang PAS. Kritik PAS, baik dia isytihar keluar, buat apa duduk lama-lama dalam PAS,” kata Nik Amar yang ditujukan kepada Mahfuz.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mahfuz yang berkata PAS tidak perlu menunggu muktamar parti itu pada bulan April ini untuk menentukan kerjasama dengan PKR kerana PAS sudah mengetahui PKR mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Sehubungan itu, Mahfuz turut mencadangkan PAS menarik diri daripada kerajaan negeri Selangor yang turut dianggotai PKR dan DAP bagi membuktikan ketegasan prinsip parti Islam itu.

Mengulas lanjut, kata Mahfuz, dengan latar belakang pensyarah universiti serta berpendidikan Islam, Nik Amar tidak membawa sifat 'menghalau' hanya kerana ahli PAS mengambil tanggungjawab menegur parti.

"Sepatutnya, beliau membawa watak matang, sejahtera, damai dan bukannya menghalau.

"Tanamkan perasaan kasih sayang, ingat mengingati supaya perasaan kekeluargaan sentiasa tersemai dalam PAS. Saya ingin menasihati Nik Amar tetapi siapalah saya, saya cuma ahli biasa.

"Kepada semua pemimpin tertinggi fahamilah perasaan 'anak-anak' anda, bukan 'sayang semasa berada, dan menyingkirkan ketika tiada'." katanya lagi.

Mengenai prestasi PAS di Kelantan, tambah Mahfuz, beliau sangat bimbang dengan keengganan PAS bersama rakan-rakan pembangkang dalam satu pakatan besar yang boleh menyebabkan PAS kehilangan Kelantan.

"Harapan saya dan juga rakyat terhadap Datuk Nik Amar adalah jangan dihalau pula Orang Asli keluar dari Kelantan kerana masyarakat Orang Asli juga tidak setuju dengan beberapa tindakan Kerajaan Kelantan akhir-akhir ini," ujarnya lagi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: