"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada 'bujang senang' dalam Pas

HASLINA KAMALUDIN

SHAH ALAM - Kepimpinan tertinggi Pas hari ini terus berdepan cabaran bukan hanya daripada luar tetapi juga dalam kalangan ahlinya sendiri.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berpendapat, Pas mempunyai tugas berat apabila perlu memastikan parti itu bebas dari segala anasir yang boleh menjatuhkan kredibiliti parti itu.

"Kita melihat Pas seakan-akan semakin yakin dengan setiap tindakan yang diambil.

“Biarpun berlaku kepincangan dalam parti itu, tetapi kepimpinan mereka berjaya meletakkan apa juga keputusan yang menutup segala permasalahan parti itu,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, kenyataan demi kenyataan yang menunjukkan ketegasan Pas adalah sesuatu perkara yang perlu dibuat untuk menunjukkan parti itu masih relevan.

"Walaupun kita tahu, anasir luar sentiasa memerhati setiap gerak-geri Pas, namun Pas sebenarnya berhadapan dengan 'bujang senang' dalam parti mereka.

“Bujang senang ini adalah ahli Pas yang sudah tidak mahu mengikut pemimpin sedia ada tetapi tidak mahu keluar parti sebaliknya hanya mahu menyingkirkan pemimpin," katanya.

Menggunakan metafora ‘bujang senang’, Md Shukri berkata, ahli Pas seumpama ini dilihat hanya menunggu masa untuk bertindak.

“Mereka tunggu saja nak mengganas. Kita tahu ada ahli yang secara terang-terang menunjukkan sikap tidak bersama parti. Ada juga yang nampak macam sokong, tapi sebenarnya tidak.

“Inilah yang Pas perlu tangani bagi memastikan segala dasar dan perjuangan Pas hari ini terus diterima,” ujarnya lagi.

Md Shukri berkata, terma bujang senang ini adalah perkataan tepat menggambarkan bagaimana ada ahli Pas yang tidak setia.

“Mereka cari mangsa untuk telan. Setiap jawatan, ada yang bercita-cita untuk merampasnya termasuklah jawatan paling tinggi dalam parti.

“Dikatakan golongan ini akan muncul pada PRU14 nanti. Kerana itu, saya katakan Pas perlu lebih berhati-hati khususnya daripada ahlinya sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Pas menyatakan tidak akan bersama mana-mana parti sama ada BN mahupun Pakatan Harapan pada PRU14.

Perjuangan sendiri dengan parti Gagasan Sejahtera itu juga memperlihatkan Pas menolak kedua-dua parti dominan tersebut.

Ekoran menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (Harapan), parti itu pernah menggugurkan jawatan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang dikatakan menyokong kepimpinan kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran PKR.

Ia dikatakan bertentangan dengan prinsip Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, Datuk Mahfuz Omar juga antara ahli Pas ‘berhaluan kiri’ apabila turut menyatakan sokongan kepada Harapan.

Tidak hanya itu, Pas juga dilihat tidak menentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu tersebut.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menerima penjelasan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan beliau bagi mengatasi kemelut 1MDB.

Bagaimanapun katanya, Pas melihat ada keperluan untuk parlimen memantau aset 1MDB yang diambil alih Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, ahli Pas, Datuk Mahfuz Omar yang juga merupakan ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa partinya telah diperdaya dalam isu 'penjelasan 1MDB'.

Rentetan itu, Mahfuz berkata, beliau hanya boleh menzahirkan ucapan takziah kepada partinya itu.

"Di mana rasionalnya plan rasionalisasi 1MDB yang membuatkan parti saya (Pas) berasa 'puas hati' itu?

"Dalam hal ini, tiada apa yang dapat saya katakan melainkan saya ingin mengucapkan takziah kepada Ustaz Tuan Ibrahim dan parti saya yang terang-terang diperdayakan oleh 'ahli silap mata' sedangkan hakikat sebenar skandal 1MDB ini amat jauh lagi jalan penyelesaiannya," katanya.

Tiada ulasan: