"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rasuah di bangku sekolah?

Azizi Ahmad
Baru-baru ini warga pendidik di media sosial membincangkan bagaimana pelajar dibentuk menjadi korup dalam sistem persekolahan.
Salah seorang bapa murid telah meluahkan rasa ketidakpuasan hati beliau yang antaranya berbunyi:
“Apabila sistem pendidikan mengiktiraf keputusan peperiksaan yang tinggi sebagai ‘pendidikan yang baik’, lambat laun sistem itu pasti akan menghadapi masalah dan mengatakan bahawa ia membentuk pelajar untuk menjadi korup dan tidak bermoral.
“Salah satu daripada beberapa perkara yang dimaklumkan adalah terdapat guru memberi ‘petunjuk’ atau ‘soalan bocor’ kepada pelajar untuk mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan dan sekolah mengajar bahawa ‘berbohong adalah tidak salah’. Sekolah didapati mengalakkan murid ‘menghafal’, dan mereka yang mampu menghafal dengan baik akan pastinya mendapat A dalam peperiksaan yang diambil setelah ‘soalan’ diberikan sebelumnya.
“Anak saya memperolehi 9A dalam peperiksaan percubaannya sebelum ini, tetapi saya tidak gembira sama sekali kerana pihak sekolah terlebih dahulu memberi ‘makluman awal yang bersamaan dengan soalan yang bocor’ untuk semua subjek kecuali Kemahiran Hidup,” tulisnya.
Namun beliau tidak menyalahkan guru sepenuhnya, kerana percaya masalah sebenar terletak pada amalan dan arahan yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan menggunakan keputusan peperiksaan sebagai petunjuk pencapaian utama (KPI) untuk para guru.
Ini memberi tekanan yang besar kepada para guru, dan para guru terpaksa menggunakan kaedah yang tidak menyenangkan sedemikian untuk memastikan KPI tidak terjejas.
Sebagai kesimpulan, beliau menyatakan keputusan PT3 anaknya tidak bermakna apa-apa.
“Ini bukan petunjuk nyata tentang betapa pintar seseorang murid tetapi sejauh mana seorang murid mampu menghafal dan mengingat soalan bocor yang diberikan oleh pihak sekolah.”
Walaupun Malaysia sentiasa dikatakan menghasilkan pelajar dan graduan yang baik, perkongsian oleh bapa tersebut menunjukkan terdapat masalah yang besar dalam sistem pendidikan Malaysia, dan tindakan yang bijak perlu diambil bagi mengatasinya sebelum menjadi lebih teruk.
Isu ini boleh juga dikaitkan dengan beberapa kejadian dan tuduhan yang hampir sama di Baltimore, Amerika Syarikat. Media di Baltimore berjaya membongkar isu “mengubah gred dan markah dari gagal kepada lulus”.
Juga dilaporkan “surat pekeliling” diterima daripada pihak atasan dan menggesa serta mengarah pemeriksa kertas peperiksaan untuk menukar gred gagal kepada lulus. Kita tentu tidak mahu perkara sebegini turut berlaku di negara kita.

Walaupun ramai pemeriksa kertas peperiksaan melahirkan rasa kecewa (namun terpaksa kerana “saya yang terpaksa menurut sahaja”) jelasnya perbuatan sebegini tidak membantu pembelajaran dan kehidupan kanak-kanak.
Mengubah gred cara termudah dan terpantas untuk meluluskan pelajar dan tentu saja pihak sekolah dan pentadbir akan dilihat sangat baik atau cemerlang.
Hakikatnya, kebanyakan pelajar yang lulus tidak mempunyai nilai gred.
Dalam masa yang sama, seorang guru diharamkan mengajar seumur hidup selepas menukar gred gagal daripada “U” ke “A”.
David Fitzgerald, guru teknologi maklumat dengan sengaja menipu dalam pemberian gred peperiksaan General Certificate of Secondary Education (GCSE) murid-muridnya dan membantu menyiapkan tugasan untuk mereka kerana murid-muridnya “mendapati kerja kursus yang diberikan terlalu sukar”.
Apa yang pasti kenyataan dan makluman berlakunya penyelewengan ini datangnya dan dimaklumkan oleh murid-muridnya sendiri.
Guru membantu memastikan saya melakukannya dengan betul, dan dia juga memberi kami semua jawapan yang diperlukan untuk kertas ujian tersebut.”
Walaupun dilihat sebagai tidak amanah dan jujur dan tindakannya menjejaskan integriti sistem peperiksaan dan profesion pengajaran, Fitzgerald menafikan sebarang salah laku dan kesalahan yang dilakukan, dan menyatakan gred yang diterima oleh muridnya adalah melalui “bimbingan dan sokongan untuk murid-murid”.
Sesungguhnya memang agak lucu, bukan begitu? Malah di Malaysia, kita juga selalu mendengar anak-anak kita yang tamat persekolahan masih tidak cukup berwibawa untuk membaca dan menulis dengan baik. Kita juga sering dimaklumkan gred pencapaian UPSR, PT3, SPM dan sebagainya berada pada tahap terbaik.
Kita tidak boleh mempunyai sistem peperiksaan yang berasaskan markah kerja kursus terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Jika penyelewengan pemberian gred berlaku dalam kerja kursus (kuiz, ujian, tulisan akademik, portfolio, persembahan dan lain-lain), tentunya pelajar tidak perlu lagi menduduki peperiksaan akhir.
Pendidik yang cuba membantu dan meningkatkan taraf pencapaian murid berbanding prestasi sebenar, menggalakkan penipuan, plagiarisme dan tentu saja “sokongan tambahan”.
Ada juga yang menyebutkan sistem pendidikan berdasarkan kerja kursus seperti tugasan dan projek adalah tidak berguna, kerana kita mempunyai pelajar “A” yang tidak dapat menonjolkan keupayaan sebenar.
Pelajar sering dilihat menyalin, meniru hasil kerja satu sama lain, dan pendidik yang membantu menyiapkan tugasan. Terdapat juga pendidik yang begitu baik yang akan membenarkan mereka yang gagal dalam tugasan kerja kursus membuat semula tugasan mereka dan memastikan gred “lulus” apabila penyerahan semula.
Bagi mereka yang membantah penyalahgunaan dan penyelewangan ini, akan di kecam kononnya “tidak berhati perut” atau “tidak faham sistem pendidikan”, dan yang tidak terlepas dari dimaklumkan “mungkin anda lebih baik memilih kerjaya lain?”.
Menduduki peperiksaan adalah sesuatu sukar berbanding menipu. Sesungguhnya peperiksaan hanyalah untuk menguji keupayaan untuk menghafal fakta, kata pengkritik peperiksaan. Namun adakah dan apakah yang salah dengan dengan mengambil ujian? Bukankah itu yang dilakukan oleh doktor apabila membuat keputusan untuk memberi rawatan?
Azizi Ahmad adalah pembaca FMT.

Tiada ulasan: