"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanipa sekolahkan 'adik berhingusnya' dalam PAS

Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS Syed Ahmad Fadhli sebagai “budak berhingus” selepas mengupas cubaan Pakatan Harapan menolak Belanjawan 2018.

Tanpa menyebut nama, Hanipa berkata pemimpin muda PAS itu harus belajar lagi hal ehwal politik apabila menyifatkan HARAPAN tidak serius dengan undi belah bahagi bagi bajet peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Alkisah, maka si budak ini pun dihikayatkan berkata kononnya HARAPAN hanya main-main saja buat undi belah bahagi ke atas KPDNKK dua hari lepas. Alasan beliau jika HARAPAN serius sudah tentu HARAPAN buat undi belah bahagi ke atas setiap kementerian.

“Maaf adik, belajarlah lagi ya. Jangan asyik dok ratib apa yang pemimpin kamu cakap! Yang main-main, adik, jika HARAPAN buat belah bahagi setiap kementerian, sebab BN sudah boleh baca dan bersedia, maka pastilah undi kalah. Itu namanya tak ada strategi dan membuta tuli.

“Sebab itu adik, kita kena cerdik. Kena ada strategi. Strategi yang sekali HARAPAN serang, BN menggelupur hingga ke sudah. Dan 'yang bagi nyawa' kepada BN pun sama-sama menggelupur macam ayam berak kapur! Itulah siasah adik!” kata bekas peguam PAS itu.

Syed Ahmad semalam mendakwa HARAPAN tidak serius untuk menolak Bajet dan “bersandiwara menipu rakyat” kerana hanya memohon undi belah bahagi untuk bajet peringkat KPDNKK.

Beliau juga berkata kandungan bajet RM1.43 bilion KPDNKK yang hendak diluluskan itu demi melaksanakan program pembangunan perdagangan dalam negeri, pembangunan koperasi, pendayaupayaan pengguna dan kecemerlangan organisasi.

Menulis di Facebook malam tadi, Hanipa juga menolak hujah Syed Ahmad bahawa belanjawan itu masih mempunyai kebaikan untuk rakyat dan pegawai kerajaan.

“Teruskanlah juga kata kerajaan Malaysian Official 1 (MO1) juga ada kebaikan walaupun berselirat yang tak baik, maka apa salahnya parti suci kena juga sokong kerajaan MO1 tu,” katanya.

Beliau mengajak Syed Ahmad meneliti kembali ayat al-Quran tentang pengharaman arak yang diakui mempunyai sedikit manfaat, berbanding dosa yang besar.

“Tapi adik, al-Quran juga kata dosanya atau kekejiaannya lebih besar daripada manfaatnya. Jadi, sebab itu arak haram adik!” katanya sambil mencadangkan buku Fatwa Mu'asirah karya sarjana terkemuka Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai rujukan.

Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerima cadangan undian belah bahagi dariapda G Manivannan (PKR-Kapar) yagn dibuat ketika Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

RUU Perbekalan untuk kementerian itu kemudian diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Pembangkang hampir berjaya menolak bajet itu selepas Enam wakil rakyat PAS yang berada dalam dewan ketika itu memilih mengundi menolaknya.

Bagaimanapun dua anggota parlimen PAS berkecuali, iaitu Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan anggota parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff.
-malaysiakini

Tiada ulasan: