"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN menang kerana PAS, kata penganalisis

PRK CAMERON | BN tidak boleh berbangga dengan kemenangan pada PRK Parlimen Cameron Highlands kerana kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa sokongan daripada pengundi PAS.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, penyokong PAS merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan majoriti BN di Parlimen Cameron Highlands jika dibandingkan pada PRU ke-14, Mei tahun lalu.

PAS, yang pada kali ini tidak bertanding, mendapat 3,587 undi menerusi calonnya, Wan Mahadir Wan Mahmud, pada PRU-14 lepas.

"Pada PRU lepas undi berpecah kerana pertandingan pelbagai penjuru melibatkan BN, PAS, Pakatan Harapan (PH), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Berjasa," kata pensyarah kanan Universiti Malaya itu ketika dihubungi malam tadi.

Pada PRK Parlimen Cameron Highlands ini, calon BN, Ramli Mohd Nor, mendapat 12,038 undi untuk mengalahkan wakil PH, M. Manogaran (8,800 undi), dan serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Ramli, bekas pegawai polis, mencipta sejarah apabila menjadi wakil tunggal masyarakat Orang Asli yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan mengisi satu slot kerusi di Dewan Rakyat.

Majoriti yang diraih Ramli iaitu 3,238 undi meningkat berbanding 597 undi yang diperoleh calon BN, C Sivarraajh pada PRU-14.

Awang Azman juga berkata keputusan ini tidak menghairankan kerana seperti kebiasaan, parti penyandang akan dapat mempertahankan kubu kuatnya.

Ini seperti mana juga empat PRK sebelum ini yang dimenangi PH. PH dilihat perlu bekerja lebih kuat di kawasan kubu BN," katanya merujuk kepada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia di Selangor dan Parlimen Port Dickson.

Sementara itu, pensyarah kanan Hal Ehwal Politik dan Antarbangsa Univerisiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, PH perlu melihat keputusan itu secara rasional termasuk menambah baik pengurusan pentadbiran di peringkat kerajaan Pusat.

"Kerajaan perlu berusaha menambah baik banyak perkara termasuk Felda. Jangan melihat mereka (peneroka Felda) sebagai musuh," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kemenangan pada PRK ini menunjukkan kerjasama antara UMNO dan PAS telah membuahkan hasil.

Beliau, yang kini menjalankan tugas-tugas presiden Umno, berkata pertolongan PAS pada PRK ini telah menarik pengundi PAS pada PRU-14 lepas untuk memberikan kepercayaan kepada BN.

Kemenangan kali ini amat bermakna kerana BN menang dengan majoriti 3,238 undi berbanding majoriti 597 undi pada PRU-14 lepas, katanya.

Mohamad juga berkata kemenangan pertama BN selepas tewas dalam empat PRK sebelum ini akan dijadikan pembakar semangat untuk menghadapi PRK DUN Semenyih di Selangor pada 2 Mac ini.
-Bernama

Tiada ulasan: