"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Loceng amaran buat pemimpin PH

FAKHRURAZI MOKHTAR
Dapatan kajian yang dilakukan Ilham Centre bersama Penang Institute dengan laporan bahawa 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH perlu diterima dengan jiwa besar dan lapang dada oleh para pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Kajian ini adalah ‘loceng amaran’ buat kerajaan agar berhenti daripada terus bermimpi yang indah pasca PRU-14 dengan menumpukan kerja-kerja kepada menawan hari orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Kajian dengan data seramai 2,614 responden tersebut perlu dijadikan turning point buat pemimpin PH N agar segera bertindak bagi menyekat angka data dan kajian selepas ini agar peratusannya tidak bertambah.

Jumlah 60 peratus pengundi Melayu yang tidak berpuas hati dengan kerajaan PH seperti kajian itu adalah angka yang besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh kerajaan.

Sesuatu perlu dibuat kerana orang Melayu adalah tunjang kepada penyumbang kemenangan mahupun kekalahan dalam PRU ke-15 nanti.

Kita juga mendapati kajian demi kajian yang dibuat oleh pelbagai pusat kajian sebelum PRU-14 yang menunjukkan kerajaan BN bakal tumbang atau dilawan sengit oleh pembangkang. Tetapi BN terus alpa dan tidak memandang serius kajian tersebut.

Ambillah pengajaran daripada keangkuhan kerajaan BN terdahulu dan kerajaan sekarang tidak boleh berdiam diri lagi.

Sudah tentu antara faktor ketidak puashatian orang Melayu adalah propaganda dan sentimen yang ditanam oleh pembangkang sekarang.

Sebagai sebuah parti yang pernah memerintah negara, Umno masih lagi mempunyai sokongan akar umbi di kawasan majoriti Melayu (Malay Belt).

Mereka juga mempunyai pengalaman yang luas bagaimana menawan hati pengundi-pengundi terutamanya atas pagar melalui isu-isu yang berlaku.

Selain itu, dokongan Pas sebagai rakan sekutu baharu BN menguatkan lagi pengaruh mereka di kawasan pedalaman terutama di Pantai Timur dan Utara semenanjung.

Ia tidak mustahil apatah lagi kajian Ilham Center turut merumuskan bahawa Pas mendahului semua parti yang menjadi pilihan rakyat sebagai pelindung Melayu Islam.

Kepercayaan orang Melayu melalui kajian tersebut bahawa orang bukan Islam sedang menguasai kerajaan dan DAP yang membuat keputusan di Putrajaya adalah fitnah yang sedang direka-reka, dan ia menjalar di pemikiran orang Melayu.

Soalnya, bagaimana ada pihak tergamak menabur fitnah demi meraih undi simpati orang Melayu dengan menolak ke tepi soal dosa dan pahala.

Di mana pertimbangan halal dan haram dalam politik sehingga sanggup menembak apa sahaja isu dengan mengaitkan DAP yang menguasai negara.

Isu ini sangat bahaya kerana boleh mengundang perpecahan dan perpaduan kaum yang selama ini terbina. Kerajaan perlu menangani persepsi liar dengan tindakan tegas kepada golongan penghasut dan pemfitnah jahat.

Ia ibarat racun pembunuh, kanser yang merbahaya dan perlu dicegah dari awal. Apa guna ada pihak yang menjuarai isu perkauman dan memenangi pilihanraya dengan cara sebegitu, namun kesannya masyarakat tidak lagi hidup harmoni, saling prejudis dan membenci antara satu sama lain.

Dalam hal ini, pimpinan kerajaan mesti menunaikan segala janji yang ditabur dalam pilihanraya atau menggantikan dengan komitmen yang lebih baik terhadap rakyat.

Saya yakin, hati rakyat akan sejuk jika kos sara hidup dapat dikurangkan, bebanan rakyat dapat diringankan, harga barangan dapat dikawal atau diturunkan, harga minyak dikawal, konsesi tol dikaji dan dikurangkan harga, subsidi dalam apa juga bentuk terus diberikan kepada semua golongan memerlukan, selesaikan isu PTPTN, pelaksanaan gaji minimum, kawalan harga rumah, kereta dan lain-lain lagi.

Saya juga menggesa pimpinan AMANAH, agar segera bertindak bagi mengimbangi pengaruh PAS tersebut. Sebagai Parti Islam yang sedang menggantikan PAS di masa hadapan, kita mesti aggresif dalam menangani isu-isu umat Islam termasuk isu-isu sensitif pada padangan orang Melayu Islam.

Pimpinan AMANAH juga wajib menjuarai isu-isu Melayu dan agama Islam. Fitnah yang dilempar melalui mimbar masjid-masjid, melalui media sosial, melalui penceramah-penceramah yang vokal menyerang secara membabi buta tanpa asas fakta yang benar mesti dijawab dengan hikmah dengan keterangan yang jelas.

Selain itu, pimpinan AMANAH wajib mendekati umat Islam di bawah, turun padang dengan aktiviti yang mesra umat Islam, menarik mereka dengan akhlak dan budi pekerti mulia, kesantunan yang tinggi serta kefahaman Islam yang benar.

Umat Islam sebenarnya dahagakan model pemimpin Islam contoh yang mampu memberikan jalan keluar dari kemelut yang mereka hadapi. Mereka inginkan pemimpin yang memimpin dengan kasih sayang, dakwah dan menghormati antara satu sama lain.

Umat Islam juga benci kepada mereka yang suka menghasut, menabur fitnah, bersikap keras dan suka menghukum, menghina dan mencaci seperti segelintir pemimpin Islam sekarang.

* Penulis merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru.

Tiada ulasan: