"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH perlu mekanisme raih sokongan

Bernama
Pakatan Harapan (PH) perlu mewujudkan mekanisme baharu yang lebih berkesan di negeri yang dikuasai pembangkang bagi mendapatkan sokongan dan kepercayaan rakyat, kata Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa.

Husam berkata sekiranya PH tidak mengambil pendekatan itu kekalahan seperti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada Sabtu mungkin berulang.

“Cameron Highlands adalah kerusi yang dikuasai pembangkang dan apa yang terjadi di situ adalah gambaran kepada PH sekiranya mereka tidak mewujudkan satu mekanisme berkesan di negeri-negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis maka hasilnya akan mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan pertemuan dengan ketua biro dan pengamal media Kelantan di sini, hari ini.

Katanya sentimen perkauman yang dimainkan pihak pembangkang berjaya memberi kesan kepada PRK Parlimen Cameron Highlands apabila pemimpin keturunan India ditolak masyarakat Melayu.

“Dalam hal ini kerajaan nampaknya gagal bertindak dengan sewajarnya terhadap penyebaran tidak tepat yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya.

Sementara itu katanya PRK Parlimen Cameron Highlands membuktikan wujudnya hubungan Pas dan Umno secara terbuka apabila tular beberapa video oleh anggota Pas tegar yang menunjukkan kegembiraan mengundi BN.

Beliau berkata dalam konteks negara hari ini Pas dan Umno berkerjasama tanpa menjelaskan asas-asas kerjasama mereka seperti yang diletakkan kepada Semangat 46 dahulu iaitu menerima Islam sebagai addin.

“Jadi apa yang saya sebut selama ini adalah benar dan hari ini ia menjadi realiti. Cuma pendapat saya dalam konteks kerjasama itu jangan sampai jadi kerbau yang menyelamatkan buaya tersepit, akhirnya buaya makan kerbau tersebut,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: