"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerjasama PAS-Umno ibarat kerbau selamatkan buaya'

N Faizal Ghazali

Pakatan Harapan (PH) Kelantan melihat kerjasama antara PAS dan Umno hanyalah sia-sia kerana tidak mempunyai asas yang jelas, kata pengerusinya, Husam Musa.

Bekas exco kanan kerajaan negeri Kelantan itu mengibaratkan konteks kerjasama kedua-dua parti yang pernah berseteru itu ibarat kerbau cuba menyelamatkan buaya yang tersepit.

"Tetapi pada masa buaya tersepit dia minta tolong, apabila kerbau selamatkan buaya yang tersepit, akhirnya buaya makan kerbau tersebut.

"Dalam konteks Malaysia hari ini PAS dan Umno bekerjasama tanpa menjelaskan asas-asas kerjasama mereka," katanya pada kepada media selepas program dialog PH Kelantan bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Kota Bharu, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kerjasama PAS dan Umno yang dilihat semakin serasi di pentas politik khususnya pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Ferbuari lalu.

Kerjasama itu membuahkan kemenangan buat BN dengan calonnya, Ramli Mohd Nor mengalahkan calon PH, M Manogaran dengan undi majoriti 3,238 undi.

Mengulas lanjut, Husam yang juga adalah naib presiden Amanah berkata, pada masa lalu PAS meletakkan syarat ketika bekerjasama dengan parti Semangat 46 (S46) dan DAP.

"Syaratnya ialah S46 kena menerima Islam sebagai addin, masa kerjasama dalam Pakatan Rakyat ia atas dasar DAP kena terima PAS untuk meneruskan dasar-dasar PAS.

"Tetapi dalam kerjasama dengan Umno, kita tidak pernah dengar apa-apa dasar, tidak ada satu asas yang dikemukakan oleh PAS yang menjadi syarat kepada kerjasama.

"Dan pada pendapat saya kerjasama seperti ini walaupun nampak ada kejayaan, tetapi akhirnya dasar perjuangan PAS akan disia-siakan," katanya.

Husam yang juga anggota Dewan Negara berkata, beliau gembira kerana selama ini dituduh memfitnah adanya kerjasama PAS dengan Umno.

"Saya dipecat pun kerana mendakwa adanya hubungan tersebut, tetapi hari ini hubungan kerjasama PAS dan Umno sudah pun menjadi rahsia terbuka dan kita melihat adanya video yang telah dimuat-naikkan oleh ahli PAS yang tegar.

"Mereka bergembira dapat mengundi dacing. Jadi apa yang saya sebut selama ini adalah benar dan hari ini ia menjadi realiti," katanya.

Tiada ulasan: