"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M rayu pimpinan Bersatu tak paksanya mungkir janji - Kadir Jasin

Malaysiakini
Tokoh veteran A Kadir Jasin berkata Dr Mahathir Mohamad merayu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu agar tidak memaksanya melanggar janji berhubung peralihan kuasa.

Jelas Kadir, kejadian itu berlaku dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang membincangkan masa depan Bersatu dalam PH, yang berlangsung Ahad lalu.

"Pada mesyuarat itu, Mahathir menjelaskan mandat yang diberikan Majlis Presiden PH pada mesyuarat 21 Feb.

"Beliau merayu kepada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi untuk tidak memaksanya mengenepikan prinsip dan melanggar janjinya (untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Sidang Apec pada Nov)," katanya dalam tulisan di blognya hari ini.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Feb lalu bersetuju untuk menyerahkan kepada Mahathir sendiri berhubung tarikh peralihan kuasa.

Mahathir sebelum ini berulang kali menegaskan akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas Sidang Apec.

Bagaimanapun, dalam perkembangan yang berlaku sejak Ahad lalu, yang dilihat sebagai usaha penjajaran kuasa politik, ia menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Peletakan jawatan Mahathir itu hadir tidak lama selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Bersatu keluar PH, selain 11 ahli parlimen yang diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengambil langkah sama.

Sementara itu, dalam tulisannya, Kadir berkata kunjungan "yang tidak dirancang" oleh pemimpin Bersatu pagi ini di kediaman Mahathir adalah bagi merayu beliau menarik balik peletakan jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

"Tapi daripada apa yang dapat dilihat, beliau (Mahathir) tidak melihat rayuan mereka sebagai perkara yang penting.

"Memang sewajarnya begitu. Ada banyak perkara lain yang lebih penting yang memerlukan perhatiannya.

"Ini termasuklah menguruskan ekonomi, menstabilkan pasaran, meneruskan cadangan pakej ransangan ekonomi, berunding dengan ketua-ketua penjawat awam dan berjumpa dengan parti-parti politik utama," katanya.

Tambah Kadir yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Bersatu, dengan berjumpa dengan parti-parti politik utama, Mahathir akan lebih faham tentang maksud sokongan yang diberikan kepadanya bagi menyusun langkah seterusnya.

"Sebagai contoh, adakah mereka menyokong beliau (Mahathir_ kerana mereka benar-benar mahu melihatnya menerajui negara atau kerana mereka tidak mahu musuh politik mereka menang sokongan popular untuk menjadi perdana menteri?

"Jika mereka benar-benar sokong beliau dan tidak ada pencabar lain, beliau boleh membentuk kerajaan baru," katanya.

Sejak Ahad lalu, situasi politik negara menyaksikan perkembangan-perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa.

Selepas Bersatu yang memegang 26 kerusi parlimen dan kumpulan Azmin yang mewakil 11 kerusi meninggalkan PH, gabungan itu tidak lagi mempunyai majoriti di parlimen.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih tidak jelas parti atau pakatan politik yang mempunyai majoriti parlimen.

Selepas melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mula menemu bual semua ahli parlimen bagi memutuskan berhubung jawatan perdana menteri.

Tiada ulasan: