"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Walaupun kerajaan tumbang, Dr M kini ‘lebih kuat’ untuk pilih pasukan baru

FMT
PUTRAJAYA: Walaupun gabungan pimpinannya terlerai, Dr Mahathir Mohamad sekarang nampaknya dalam kedudukan lebih kuat untuk membentuk kerajaan baru, ketika ahli-ahli Parlimen serata blok-blok politik mengisytiharkan sokongan kepada pemimpin veteran berusia 95 tahun itu.

Sumber dekat dengan golongan dalaman Mahathir berkata dengan pembatalan semua lantikan Kabinet, beliau boleh mulakan “langkah baru” dan bentuk pasukan baru dalam kalangan 222 ahli Parlimen.

“Satu aduan yang besar dalam 2 tahun terakhir ini adalah Mahathir tiada pasukan yang baik. Sekarang masa untuk beliau memilih, kerana beliau dapat sokongan dari hampir semua blok parti,” kata sumber itu.

Perkembangan mengejutkan sejak Ahad berakhir dengan terlerainya Pakatan Harapan, gabungan 4 anggota yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad yang naik berkuasa pada Mei 2018.

Ini susulan peletakan jawatan Mahathir semalam, selepas hari yang penuh dengan pergerakan politik dalam kalangan ahli Parlimen dari PPBM, PAS, dan lain-lain yang berniat untuk membentuk gabungan baru bagi mengambil kuasa.

Mahathir juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi PPBM, yang sudah mengumumkan ia bukan lagi anggota PH, tetapi mengisytiharkan sokongan kepada bekas pengerusi gabungan itu.

Sementara itu, kekuatan PKR di Parlimen terjejas selepas timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali dan naib presidennya, Zuraida Kamaruddin dipecat kerana penglibatan mereka dalam rundingan dengan pemimpin-pemimpin daripada parti-parti pembangkang untuk membentuk pakatan baru.

Ini diikuti 9 ahli-ahli Parlimen yang keluar parti dan membentuk blok bebas.


Nyatalah pertemuan-pertemuan pada Ahad bertujuan untuk menyingkir DAP daripada kuasa persekutuan, sambil menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggantikan Mahathir.

Sumber beritahu FMT bahawa Mahathir pada mula merestui penyusunan semula politik sebagai cara untuk menghentikan perselisihan yang semakin sengit dalam PH dan tekanan mendesaknya menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Sumber bagaimanapun berkata Mahathir mundur selepas mengetahui langkah itu mengundang “pelbagai jenis penyangak” daripada kerajaan dulu.

“Ia menyebabkan beliau berfikir dua kali dan enggan meneruskannya,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga memberikan komen yang sama.

“Dr Mahathir jelas menyatakan beliau tidak boleh bekerjasama dengan Umno apabila kita bekerja keras untuk menyingkir Umno dengan jayanya pada pilihan raya umum 2018,” kata Lim ketika menyeru Mahathir kembali menjadi perdana menteri.

Ketika ditanya, sumber enggan mengulas apa yang dibincangkan.

“Sudah tidak relevan,” tambahnya.

Persoalan lebih besar sekarang ini, menjelang pertemuan dengan Agong hari ini bagi menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan baru, adalah siapa yang ada bilangan sokongan secukupnya.

“Tiada siapa pun ada bilangan yang cukup, kecuali Mahathir,” kata sumber itu.

Sumber mendakwa Anwar masih belum mampu menghasilkan suatu blok politik yang kuat.

Pemeriksaan oleh FMT membawa kepada anggaran kesetiaan politik dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang berbeza-beza.

Tetapi secara kasar Anwar dianggarkan mempunyai 90 ahli Parlimen bersamanya termasuk daripada DAP dan Amanah, sementara kumpulan yang mahu menghalang cita-cita politiknya, sekurang-kurangnya ada 105 orang, termasuk daripada Umno.

“Kira-kira 2 dozen ahli Parlimen boleh kita anggap sebagai terapung. Mereka boleh sokong mana-mana pihak,” kata satu sumber.

Sumber bagaimanapun berkata Mahathir harus berwaspada apabila mendekati “ahli-ahli Parlimen terapung” ini, kerana sejarah boleh berulang.

“Beliau sudah jadi rambang mata. Beliau boleh pilih siapa sahaja yang dia mahu.

“Belum pasti adakah beliau akan pilih blok yang disertai Azmin dan blok Melayu yang dikatakan itu. Buat masa ini, ahli-ahli Parlimen DAP dan Amanah dalam tangan Mahathir,” kata sumber itu.

Agong dijangka membenarkan ahli-ahli Parlimen menghadap dalam beberapa kumpulan.

FMT difahamkan pemimpin 5 parti sedang menyusun rancangan untuk membentuk majoriti di Parlimen, menuju pertemuan untuk meyakinkan Agong.

Tiada ulasan: