"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat akan hukum Azmin jadi pengkhianat

Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR:
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid memberi amaran rakyat akan menghukum “pengkhianat” kerajaan Pakatan Harapan yang diberikan mandat untuk memerintah negara.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata, individu seperti Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan konconya yang bersetuju dengan gerakan penubuhan kerajaan pintu belakang ialah “pengkhianat sebenar”.

“Inilah pengkhianat sebenar yang mengkhianati amanah rakyat, memberi sokongan kepada Pakatan Harapan. Mereka masuk ke pintu belakang.

“Saya pasti pengkhianat itu akan dihukum oleh rakyat yang beri mandat kepada kita.

“Azmin Ali pengkhianat. Dua, tiga ‘ekor nyamuk’ itu kita ‘bunuh’,” katanya selepas menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat di kediaman Presiden PKR, Anwar Ibrahim di Segambut malam tadi.

Turut hadir ialah isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen PKR Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Parti itu menggesa penyokong Anwar berhimpun di rumahnya, ketika cakap-cakap mengenai penyokong Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sedang merancang jajaran politik baru yang bakal menyaksikan kawan dan lawan membentuk gabungan pentadbiran baru.

Anwar ketika berucap di rumahnya semalam berkata, wujud cubaan menjatuhkan kerajaan PH membabitkan ahli politik PPBM dan PKR “yang khianat”.

“Saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat – mungkin esok – walaupun tiada pengumuman malam ini, tapi daripada maklumat yang saya terima memang ada usaha demikian,” kata Anwar.

Pada masa sama, beberapa pemimpin PKR menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin Umno, PAS dan PPBM di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Jika berlaku perubahan politik di Putrajaya, ia didakwa akan menamatkan penglibatan DAP dalam kerajaan persekutuan, sementara parti berteraskan orang Melayu dijangka memainkan peranan dominan dalam gabungan baru politik yang bakal muncul.

Ketegangan semakin memuncak dalam PH ketika pemimpin PKR, DAP dan Amanah terus menekan Mahathir menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar.

Perkembangan malam tadi menyusul sidang media pada tengah malam Jumaat yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi beliau mahu.

Tiada ulasan: