SITI NUR ZAWANI MISCON
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sedia untuk berjumpa Tan Sri Muhyiddin di mahkamah ekoran dakwaan beliau memfitnah Perdana Menteri itu.
Beliau juga mengesahkan menerima surat tuntutan atau LOD berjumlah RM10 juta daripada peguam Perdana Menteri, berhubung hantarannya di Facebook pada 9 Februari lalu mengenai kuarantin yang ditetapkan kerajaan.
Beliau ketika itu mempersoalkan sekiranya perintah kuarantin selama tiga hari yang diwartakan kerajaan adalah disebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan dikuarantin sejurus pulang dari lawatan rasmi di Jakarta.
Menerusi kenyataan terbaru pagi ini, Puad berkata, beliau tidak akan memohon maaf dan tiada keperluan memadam hantaran Facebooknya itu.
Sebaliknya beliau memaklumkan, surat LOD tersebut akan diserahkan kepada peguamnya dan membawa kes berkenaan ke mahkamah.
“Saya dituduh memfitnah Perdana Menteri. Sedangkan saya hanya bertanya dan meminta penjelasan. Kalau itu pun disaman maka amat wajar saya melawan di mahkamah.
“Saya akan serahkan kepada Peguam saya untuk respond surat LOD tersebut. Sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli oleh Muhyiddin seperti mana Umno dibuli.
“Saya tidak perlu memohon maaf dan tidak perlu memadam posting dalam FB saya. Justeru saya memilih ke Mahkamah. Ini akan memberi peluang kepada saya untuk bersama rakyat yang membantah amalan ‘antara dua darjat’ dalam isu kuarantin,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin menuntut Mohd Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook, minggu lalu.
“Kami diarahkan bahawa kenyataan itu mengandungi maklumat tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” menurut surat tuntutan ditandatangani peguam Muhyiddin.
Firma guaman itu diarah untuk menuntut Mohd Puad memadam posting berkenaan selain menyatakan permohonan maaf secara terbuka yang disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya.
Sementara itu Mohd Puad berkata, oleh kerana peraturan kuarantin tiga hari untuk Menteri dibuat secara tergesa-gesa, maka ia merupakan isu kepentingan awam yang perlu dipersoalkan.
Ini kerana menurutnya, Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama.
“Maka apakah“kuarantin tiga hari tidak bertentangan dengan Artikel 8?
“Pada saya amat jelas tindakan saman ini bertujuan untuk menutup mulut dan menakutkan para pengkritik. Saya tidak berganjak,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan