FMT Reporters
PETALING JAYA: Sebelas pegawai polis terdiri daripada pegawai kanan dan rendah yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas susulan kes rogol dalam lokap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun oleh seorang tahanan lelaki berdepan tindakan buang kerja atau penurunan pangkat.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis, Zamri Yahya, mengumumkan perkara itu susulan siasatan tatatertib ke atas kecuaian dan salah laku dalam kejadian tersebut.
Perkembangan ini selain tindakan dari sudut jenayah terhadap dua anggota polis yang menjaga lokap pada masa kejadian, katanya dalam kenyataan.
Zamri menerangkan dua laporan polis diterima susulan kejadian rogol di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada 9 Jan itu.
Laporan pertama dibuat oleh seorang anggota polis membawa kepada penuduhan suspek berusia 19 tahun bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Jan, manakala laporan kedua oleh mangsa membawa kepada penuduhan dua anggota polis bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak pada 9 Feb.
Dalam pada itu, Zamri berkata pihaknya memandang serius “beberapa kejadian gangguan seksual” melibatkan petugas sekatan jalan raya yang tular baru-baru ini.
“Tindakan tegas dari sudut jenayah dan tatatertib akan diambil ke atas semua yang terlibat sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Semua yang terlibat dikeluarkan daripada menjalankan tugas sekatan jalan raya sehingga siasatan selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan