"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pemimpin Muslimat PAS Pahang perbaharui syahadah

Malaysiakini 

Calon PAS dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dilaporkan memperbaharui lafaz syahadahnya selepas didapati menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dr Wan Maseri Wan Mohd melafazkan kalimah syahadah itu selepas membuat pengakuan dalam mesyuarat panel pakar akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diadakan di Putrajaya semalam.

Menurut laporan Sinar Harian pengasas ajaran 'Asmaul Husna Wan Maseri' itu mengakui kesalahannya dan memohon maaf kerana mengelirukan orang ramai.

Dia yang juga bekas anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kuantan, secara terbuka melafazkan syahadah bagi memperbaharui keislamannya.

Menurut Sinar Harian, Wan Maseri mengakui kenyataannya tentang Nabi Muhammad SAW tidak wujud adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Begitu juga dengan kenyataan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah hijab kita dengan Allah SWT tidak boleh berselawat kepada baginda dan tidak boleh memohon bermimpi baginda juga salah serta bertentangan dengan ajaran Islam.

"Saya juga mengaku bahawa kenyataan tentang semua orang Islam belum Islam selepas kewafatan Rasulullah juga terpesong," katanya.

Memang ada penyelewengan

Jelas Wan Maseri, kajian 99 Asmaul Husna yang dijalankannya tidak tepat dengan disiplin perolehan ilmu yang diperlukan syariat.

"Justeru saya menarik balik semua penulisan yang telah tersebar dalam kalangan masyarakat.

"Insya-Allah saya akan mengemukakan penulisan baru yang akan terlebih dahulu melalui proses perolehan ilmu yang benar di sisi syariat," katanya.

Untuk rekod dalam PRU ke-18 lalu PAS meletakkan Wan Maseri bagi kawasan DUN Inderapura. Bagaimanapun dia kalah kepada calon BN, Shafik Fauzan Shariff dengan perbezaan 2,165 undi.

Wan Maseri mendapat sokongan 3,403 undi.

Dis lalu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan merujuk ajaran Asmaul Husna Wan Maseri kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk dibuat penilaian dan keputusan selanjutnya.

Menurut Ahmad Marzuk, perkara itu sebelum ini dibangkitkan dan dibincang beberapa kali di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dalam mesyuarat pascakabinet.

Jelasnya makluman awal memang ada penyelewengan dari segi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berkaitan ajaran itu.

Difahamkan, ajaran yang didakwa diasaskan oleh Dr Wan Maseri Wan Ahmad itu kini difatwakan sebagai sesat dan menyesatkan di Terengganu, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.

Pada Okt 2020 Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar dipetik Sinar Online sebagai berkata ajaran Wan Maseri bukan silibus kepada program tarbiah parti berkenaan.

Kata Rosli, wanita terbabit juga tidak pernah membawa pendekatan ajarannya dalam parti terbabit.

Adun Tanjung Lumpur di Pahang itu juga menegaskan Wan Maseri meletakkan semua jawatannya dalam PAS pada awal 2019 dan pemilihannya sebagai calon dalam PRU lalu dibuat atas kapasiti ahli dan anggota jawatankuasa Muslimat PAS Kuantan.

Tiada ulasan: