"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesanan Mat Taib pada PAS

Malaysiakini 

Dilihat gagal memberikan komitmen penuh kepada Muafakat Nasional (MN) seorang veteran Umno menasihatkan PAS agar berfikir dengan mendalam dan tidak menyukarkan keadaan.

Bekas naib presiden Umno Muhammad Muhd Taib berkata PAS kelihatan sukar memuktamadkan kerjasama dalam MN mereka walaupun parti yang satu lagi berpendapat sebaliknya.

Kata Muhammad Umno masih menunggu jawapan PAS kerana sedar gabungan yang dibina melalui MN mempunyai kekuatan besar dan perlu direalisasikan.

"Dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya, pemimpin PAS sendiri tahu formula terbaik mengenainya.

"Mereka tahu antara UMNO dan PN (Perikatan Nasional), siapa yang lebih kuat, mempunyai akar umbi dan jentera kukuh.

"Saya nasihatkan PAS jangan benda senang nak dijadikan susah kerana yang rugi nanti adalah parti-parti Melayu sendiri," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Terdahulu bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa hubungan Umno dan PAS mungkin berakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Mohamad Khir, hubungan kedua-dua parti kini ibarat pasangan suami isteri sedang menunggu masa untuk melafazkan talak kerana isu 130 kerusi parlimen majoriti Melayu yang perlu diagihkan untuk Umno, PAS dan Bersatu.

Laporan disiarkan Sinar Online itu juga menyatakan Mohamad Khir tidak melihat formula MN dapat dipertahankan kecuali PAS bersetuju mengagihkan kerusi mereka kepada Bersatu.

"Isu itu semakin diburukkan dengan kegagalan Pas mengemukakan pendirian sama ada mahu kekal dalam MN atau beralih sokongan kepada PN," kata Mohamad Khir.

Muhammad berkata dalam keadaan begitu Umno perlu bersedia untuk bergerak bersendirian menghadapi PRU ke-15 jika PAS kekal bermain tarik tali dalam MN.

Penasihat Umno Selangor itu menambah dia melihat PAS lebih memikirkan kepentingan semasa berbanding apa yang boleh dicapai pada masa depan.

"Bagi saya, situasi PAS dalam MN diibaratkan kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih," katanya.

Tiada ulasan: