"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ikan keli jijik

Metro

Amir Mamat

KEADAAN kolam ikan keli yang kotor dan busuk di Masjid Tanah. FOTO AMIR MAMAT

MELAKA: Menjijikkan apabila sebuah syarikat penternakan ikan keli di Masjid Tanah, di sini, memberikan bangkai ayam, telur tembelang serta darah ayam sebagai makanan ternakan itu.

'Kerja gila' pengusaha kolam berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu itu dikatakan mampu membuatkan ikan keli berkenaan cepat membesar, sekali gus memberi pulangan hasil lumayan kepada mereka.

Bagaimanapun, kegiatan pengusaha terbabit terbongkar berikutan tindakan mereka melepaskan air kolam itu ke sungai terbuka menyebabkan bau busuk di sekitar kawasan berkenaan.

Air kolam hitam dan berbuih itu dilepaskan ke Sungai Baru di Masjid Tanah sehingga menyebabkan ribuan hidupan sungai mati.

Susulan itu, penduduk membuat laporan kepada Badan Kawal Selia Air (BKSA) pada Februari tahun lalu, sebelum pihak berkenaan melakukan siasatan.


KEADAAN kolam ikan keli yang kotor dan busuk di Masjid Tanah. FOTO AMIR MAMAT

KEADAAN kolam ikan keli yang kotor dan busuk di Masjid Tanah. FOTO AMIR MAMAT

Justeru, semalam, pengusaha kolam ikan keli itu didapati bersalah melepaskan air tidak dirawat ke sungai dan dikompaun RM12,000 oleh BKSA mengikut Seksyen 39(a) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014.

Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, kolam ternakan ikan keli wajar dikenakan tindakan kerana ia menjadi punca pencemaran air di sungai utama di negeri ini pada Februari tahun lalu.

"Kolam berkenaan didapati cuai melepaskan sisa darah ayam, telur busuk dan air kolam keli ke dalam sungai, sekali gus menyebabkan ikan sungai mati selain membuatkan air sungai berbau busuk sehingga ke Pekan Masjid Tanah.

"Saya sudah melawat ke kolam berkenaan tahun lalu dan mendapati penternak menggunakan darah ayam, telur tembelang dan bangkai ayam untuk menternak keli.

"Keadaan di situ berbau sangat busuk dan tindakan pengusahanya sangat tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media di pejabatnya di Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah BKSA negeri, Faizah Abdul Rahman.

Norhizam berkata, hukuman itu jelas membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, kompaun dikenakan itu bagi kesalahan pertama dan jika melakukan kesalahan berulang, jumlah kompaun maksimum RM125,000 atau RM1,000 setiap hari akan dikenakan.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada semua penternak dan petani di negeri ini agar sentiasa mematuhi peraturan dan tidak menyebabkan pencemaran kepada sumber air negeri.

Pada Februari tahun lalu, media melaporkan penduduk di sekitar Pekan Masjid Tanah terpaksa menahan bau busuk akibat pencemaran sungai yang disebabkan oleh sebuah kolam ternakan ikan keli.

Pengusaha kolam berkenaan didakwa menggunakan darah dan telur ayam busuk yang dipercayai diperoleh daripada sebuah kilang penyembelihan ayam sebagai makanan ikan dan kemudiannya melepaskan air kotor itu ke saliran masuk ke sungai berhampiran.

Masalah itu bukan sahaja menimbulkan masalah bau busuk, bahkan menyebabkan ribuan ikan mati dan terapung di kawasan parit, longkang dan sungai di sekitar pekan berkenaan.

Tiada ulasan: