"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Asri Janggut persoal mana suara 18 MP Pas, RUU 355 “masih tergantung-gantung”

FAZLI RADZI

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid secara terbuka mempersoal kesungguhan 18 Ahli Parlimen Pas dalam pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Genap empat tahun berlalunya Himpunan RUU 355 di ibu negara, beliau yang dikenali sebagai Asri Janggut mengimbas kembali detik ketika Pas masih bergelar parti pembangkang.

“Saya bawa anak lelaki yang berusia 8 tahun dan isteri saya pada himpunan RUU 355 pada 18 Februari 2017 di Padang Merbok.

“Tujuannya untuk ajar anak apa itu perjuangan, apa yang orang Islam perlu perjuangkan. Saya beritahu isteri undang-undang Islam perlu diperkasa untuk masa depan Islam,” tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun, kesalnya, semua laman media sosial atau Facebook peribadi para pemimpin Pas, wakil rakyat, Ahli Parlimen atau media rasmi parti Pusat, Negeri tidak lagi menaikkan isu RUU 355.

“Malah sepi begitu sahaja, ke mana suara 18 orang wakil kita (Pas) di Parlimen?

“Masihkan kita ingat ada seorang pakcik kayuh basikal dari Baling Kedah hingga ke Padang Merbok?

“Adakah kita dah lupa titik peluhnya? Adakah kita semakin lalai?” soal Asri Janggut lagi.

Sehubungan itu, penyokong Pas tersebut berharap pemimpin parti yang memegang jawatan Menteri Undang-Undang memberi penjelasan mengapa RUU 355 “masih tergantung-gantung”.

Untuk rekod, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari pada 25 Julai tahun lalu berkata, pembentangan kali kedua RUU 355 perlu mengikut tertib tertentu jika dibawa oleh kerajaan, berbeza dengan pembangkang.

Wakil rakyat Pas itu berkata banyak prosedur perlu dilakukan sebelum pembentangan di Parlimen termasuk mengadakan perbincangan dengan semua negeri dan selepas itu akan dibawa ke Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Proses seterusnya adalah mengangkat perkara berkenaan kepada Majlis Raja-Raja selaku ketua agama negeri dan bagi negeri yang tiada Raja akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sebelum ke proses terakhir pembentangan di Parlimen,” kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu lagi.

Tiada ulasan: