"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Henti tipu rakyat dengan manipulasi angka kes Covid-19

SITI NUR ZAWANI MISCON 

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana didakwa cuba untuk manipulasi angka Covid-19 sehingga memberi gambaran kurang tepat kepada rakyat.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang mendakwa bahawa gelombang ketiga Covid-19 telah menurun dan terkawal kerana kejayaan pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Chang, jumlah kes positif Covid-19 baharu menurun bukan kerana pandemik sudah terkawal, tetapi jumlah ujian Covid-19 iaitu individu disampel yang menurun dengan drastik.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa keupayaan makmal awam dan swasta menjalankan saringan Covid-19 adalah sebanyak 76,805 ujian sehari.

“Namun, jumlah ujian yang dijalankan ke atas individu makin hari makin berkurangan.

“Pada 3 hingga 5 Februari, jumlah saringan harian yang dijalankan melebihi 60,000 ujian masing-masing. Pada 8 Februari, jumlah saringan telah dikurangkan secara drastik kepada 32,536 ujian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Ahli Parlimen Tanjong Malim itu lagi, jumlah saringan individu terus dikurangkan kepada angka yang antara paling rendah, iaitu sebanyak 23,791 sahaja semalam.

Justeru katanya, penurunan jumlah kes positif adalah diakibatkan oleh jumlah saringan yang semakin kecil, bukan kerana pandemik sudah terkawal.

Chang menambah, menurut piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pandemik Covid-19 dianggap terkawal jika kadar positif daripada jumlah saringan adalah kurang daripada lima peratus.

Namun sekiranya kadar positif melebihi 10 peratus, maka pandemik dikategori sebagai di luar kawalan.

“Dalam tiga hari yang lepas, kadar positif kita berlegar di sekitar 10 peratus, iaitu 11.94 peratus pada 13 Februari, 10.15 peratus pada 14 Februari, serta 9.15 peratus pada 15 Februari.

“Saya mendesak PN hentikan mainan politik seperti ini untuk menipu rakyat. Kerajaan harus memastikan menteri dan kedua-dua timbalan menteri kesihatan letak jawatan atas kekhilafan ini dan kementerian yang lain tidak akan mengulangi perbuatan ini,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: