SHAHBUDIN HUSIN
Hakikat bahawa rakyat kini begitu benci dan meluat dengan Muhyiddin Yassin bukanlah rekaan atau andaian semata-mata.
Di mana-mana saja, suara kebencian dan penolakan itu tidak saja begitu ketara, malah tahapnya sudah melebihi apa yang diterima Najib Razak sebelum ini.
Sebagaimana rakyat telah menghukum BN kerana penolakan terhadap Najib, kini sentimen yang sama sedang melanda PN lantaran perasaan meluap-luap ingin menjatuhkan Muhyiddin.
Dengan pelbagai kemelut, ketidak-tentuan, kucar-kacir sistem pentadbiran negara dan diburukkan lagi kerana semua itu menjadikan ekonomi derita dan rakyat sengsara, dirasakan ubat mujarabnya hanyalah dengan menyingkirkan Muhyiddin daripada kerusi kuasanya.
Tetapi, dengan menjadikan Covid19 sebagai kambing hitam, PKP dan darurat ini dirasa bagai tiada penghujungnya bakal dimanfaatkan oleh Muhyiddin untuk melindungi kedudukannya.
Ramai yang percaya, selagi ancaman menjatuhkannya sering menjelma, manakala bayang kemenangan terlihat semakin sirna jika mahu diadakan pilihanraya, dikatakan jalan pilihan bagi Muhyiddin ialah terus memanjangkan lagi PKP dan darurat ini daripada semasa ke semasa.
Lantaran itu, sebelum negara ini terperosok lebih jauh ke lembah sengsara, menjatuhkan Muhyiddin tidak harus lagi ditunda-tunda.
Dalam hal ini, UMNO sebagai kelompok Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan PN yang meletakkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini, parti itu juga kunci penentu kepada segala kemelut yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini.
Memang sebelum kejatuhan PH dan terbentuknya PN pada Mac tahun lalu, nama UMNO sedang berada di puncak keyakinan dan keinginan rakyat untuk melihatnya kembali berkuasa.
Beberapa pilihanraya kecil yang dimenangi UMNO sebelum itu jelas memperlihatkan hakikat tersebut dan rakyat seolah-olah sudah melupakan dosa-dosa silamnya dan ingin ia kembali menerajui kepimpinan negara.
Namun, apa yang berlaku selepas UMNO berada dalam kerajaan semula telah secara perlahan-lahan menenggelamkan nama baiknya.
Hari ini sedikit demi sedikit keyakinan rakyat sudah mula goyang terhadap UMNO dan kecuali melalui beberapa kerat pemimpinnya yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan, yang selebihnya yang berada dalam kerajaan hanya menampakkan mereka lebih sayangkan perut, kedudukan dan jawatan berbanding perjuangan.
Dalam isu berkaitan pengeluaran wang KWSP dan moratorium pinjaman bank, di mana suara menteri dan timbalan menteri UMNO dalam memperjuangkannya?
Berkaitan pemotongan peruntukan yang dilakukan Muhyiddin terhadap enam wakil rakyat UMNO daripada RM3.7 juta yang diterima tahun lalu kepada hanya RM100 ribu setahun tahun ini, siapa menteri dan timbalan menteri UMNO yang terdengar ada bersuara membela rakan separti mereka sendiri?
Begitu juga dalam deretan isu lain yang berlaku pertembungan antara kepentingan rakyat dengan kedudukan Perdana Menteri, sementara Ahli Parlimen yang tidak berjawatan dalam kerajaan terus bersuara, tetapi mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri jelas sudah menampakkan diri mereka semakin lupa kepada hakikat perjuangan yang sebenarnya.
Memperjuangkan nasib sendiri agar terus kekal sebagai menteri dan timbalan menteri nampaknya jauh meninggalkan kepentingan untuk berjuang demi rakyat sebagaimana ia berdegar-degar bagai nak runtuh langit dimainkan ketika menjadi pembangkang selama 22 bulan sebelum itu.
Terburuk sekali sekarang ini, walaupun kebejatan Muhyiddin dalam mengurus negara tidak perlu dihuraikan lagi kerana segala-galanya sudah terang lagi nyata, keengganan UMNO menarik sokongan bagi menjatuhkan kerajaan mula membuatkan rakyat jadi keliru.
Rakyat kini sudah cukup derita di bawah kerajaan yang tiada keabsabahan, Perdana Menteri yang tiada majoriti dan tiada kemampuan melonjakkan ekonomi di sebalik pelbagai sekatan PKP dan darurat yang pada hakikatnya semua itu hanya untuk menyelamatkan tengkuk Muhyiddin semata-mata, tetapi membuatkan rakyat semakin terpanggang sengsara.
Sebenarnya di ketika rakyat sedang marah dan di puncak penolakan kepada kepimpinan Muhyiddin inilah waktu yang paling sesuai untuk UMNO menarik sokongan bagi memperlihatkan sikapnya yang benar-benar pro rakyat.
Tidak guna meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu, juga tidak guna dua Ahli Parlimen mengumumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin, malah turut tiada gunanya Timbalan Speaker mengutus surat memaklumkan rasa bingung dengan penggantungan Parlimen jika UMNO masih tercongok menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Semua itu tidak bermakna apa-apa selagi UMNO terus menyokong kerajaan PN ini, malah Timbalan Speaker yang bingung dengan penggantungan Parlimen, tetapi tidak berani meletakkan jawatan, hanya membuatkan rakyat lebih bingung dibuatnya.
Kalau betul-betul memikirkan soal perjuangan, membela rakyat yang derita dan mahu UMNO disanjung sema, lakukanlah seperti Ahli Parlimen Machang yang menarik sokongan dan meletak jawatan sekaligus tanpa sayang kepada kedudukan.
Kalau betul berani dan mahu UMNO menang PRU, inilah masanya harus keluar secara en bloc daripada kerajaan sebagai tanda tidak setuju dengan Muhyiddin.
Buat ada Zahid Hamidi, Najib Razak dan beberapa pemimpin UMNO lain yang cuba berwatak seperti pembangkang dengan menegur dan mengkritik banyak perkara, namun dalam masa yang sama terus membekalkan oksigen untuk Muhyiddin dan Bersatu kekal mencatur kuasa dalam kerajaan?
Lagi lama UMNO duduk bersimpuh menyokong kerajaan, sementara rakyat semakin menjauhi dan ingin menjatuhkan Muhyiddin, tidak kira bila sekali pun PRU15 diadakan, percayalah, harapan serta peluang mereka untuk menang juga jadi makin menghilang.
UMNO hanya berpeluang menang pilihanraya serta boleh kembali berkuasa jika segera menarik sokongan terhadap kerajaan kerana dengan menjatuhkan Muhyiddin, sikap itu akan membuatkan rakyat terhutang budi serta percaya kepada perjuangannya benar-benar untuk rakyat jelata.
Sementara Muhyiddin memang sah dibenci, UMNO yang takut-takut menarik sokongan, walhal dua Ahli Parlimennya sudah pun berbuat demikian dan usul putus hubungan telah juga diluluskan, lagi berlengah hanya akan membuatkan rakyat turut benci dan hilang kepercayaan kepada parti itu. (Shahbudindotcom 19/02/2021)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan