Kempen derma Malaysiakini capai sasaran
Malaysiakini telah mencapai lebih daripada sasaran kutipan dana sebanyak RM500,000 dalam masa kurang dari lima jam.
Pengumpulan dana tersebut untuk membantu portal berita ini membayar denda RM500,000 setelah Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas komen menghina pembacanya.
Kempen derma ini telah tamat. Sumbangan akan dipertanggungjawabkan dan Malaysiakini akan telus.
Malaysiakini masih mempertimbangkan bagaimana untuk menyalurkan lebihan dana.
Ketua Pegawai Eksekutif portal berita ini, Premesh Chandran mengucapkan terima kasih kepada pembaca dan orang ramai atas sokongan mereka.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada pembaca dan penyokong kami, kerana telah menolong kami, walaupun, saya yakin ramai yang mengalami kesukaran ketika wabak ini.
"Ini menunjukkan semua yang benar dan salah di negara ini. Bahawa rakyat bersedia untuk ikut terlibat dan melakukan apa saja untuk membuatkan suara mereka didengar dan menjadikan negara lebih baik dan menyumbang dalam memperbaiki kesalahan," katanya.
Katanya lagi, Malaysiakini akan terus melaporkan tanpa rasa takut dan pilih kasih, dan akan melakukan yang terbaik supaya memastikan suara rakyat didengar.
Sementara itu, ketua pengarang Steven Gan berkata dia terharu dengan kemurahan hati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.
"Kami di Malaysiakini merasa sangat rendah hati dengan kemurahan hati mengejutkan yang ditunjukkan oleh mereka yang telah menyumbang kepada Tabung Pembelaan Undang-undang kami.
"Kami tidak tahu bagaimana untuk membalas kepercayaan anda kepada kami selain daripada terus melakukan tugas kami dengan sebaik mungkin dalam persekitaran yang semakin memusuhi wartawan di Malaysia," katanya.
Pada 16 Jun tahun lalu, selepas dilantik memegang jawatan Peguam Negara, Idrus memohon prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan Gan.
Idrus berpendapat kedua-dua responden telah menghina mahkamah dengan memfasilitasi komen lima pembaca mengenai satu artikel bertarikh 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”
Mengetengahkan lima komen, Idrus berkata komen-komen dirujuk dengan jelas membawa maksud badan kehakiman melakukan salah laku, terlibat dalam aktiviti rasuah, tidak menegakkan keadilan dan mengkompromi integriti badan kehakiman.
“Komen-komen tersebut menggugat keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan secara nyata berniat menjatuhkan nama baik pentadbiran keadilan oleh badan kehakiman,” tambahnya.
Malaysiakini berhujah kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan niat organisasi berita itu untuk menyiarkan komen yang memfitnah mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan