Malaysiakini
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Dr Mahathir Mohamad sedang mencari “perumah” lain setelah tidak dihiraukan oleh rakan daripada Pakatan Harapan (PH).
Mengulas kenyataan Mahathir yang sedia untuk kembali kepada Umno sekiranya parti itu kembali dasar awalnya untuk berjuang demi bangsa, negara dan agama, kata Zahid, syarat bekas perdana menteri itu hanyalah alasan dan dalih semata-mata.
“Saya fikir rakyat khususnya ahli Umno boleh menjangkakan punca sebenar mantan pengerusi PH dan Bersatu ini membuat pusingan U setajam itu.
“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi perdana menteri ketujuh.
“Presiden Bersatu telah memecatnya. PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan PN tidak luluskan pendaftaran parti baharunya (Pejuang). Makanya perlu cari 'perumah' lain atau setidak-tidaknya kembali kepada 'perumah lama' untuk terus mendapatkan manfaat 'nutrisi'.
“Rakyat juga tahu syarat yang ditetapkan beliau itu sekadar alasan. UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sedangkan, imbau Zahid, Mahathir pernah memberikan kenyataan-kenyataan yang bernada berbeza sebelum ini.
Dia memetik kenyataan Mahathir sebelum ini, antaranya, menyifatkan Umno sudah hancur dan tinggal nama, yang menolak kerajaan campuran dengan parti Umno, dan pengakuan Mahathir yang memintanya membubarkan Umno.
Dalam wawancara bersama Sinar Harian kelmarin, Mahathir mengakui yang dia masih sayangkan Umno, sementalahan pernah berpuluh tahun menjadi presiden parti itu.
Meskipun Dr Mahathir mengakui boleh kembali bersama Umno, dia juga menegaskan yang dia hanya akan bersetuju kembali sekiranya elemen negatif seperti rasuah dapat dibersihkan di dalam Umno.
“Saya boleh kembali kepada Umno. Tapi orang yang penyangak-penyangak apa semua, minta maaflah, saya tak boleh kerjasama dengan mereka,” tegas Mahathir kelmarin.
Zahid antara pemimpin Umno yang terpalit dengan tuduhan rasuah di mahkamah, selain tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, dan kini dalam proses perbicaraan.
Beberapa figura Umno turut telah dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah atas beberapa kesalahan seperti penyelewengan atau rasuah, seperti bekas presiden Umno Najib Razak, Isa Samad dan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Dedah Mahathir dalam wawancara sama, hanya seminggu selepas dia meletakkan jawatan pada 2003, dia menerima rombongan demi rombongan yang memintanya berbuat sesuatu kerana berpendapat perdana menteri ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik.
Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno pada 2003, sebelum kembali menjawat jawatan perdana menteri pada 2018 selepas kejayaan PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Namun, dia meletakkan jawatan Februari tahun lalu setelah parti yang diasaskannya, Bersatu keluar daripada PH bagi bekerjasama dengan pihak lain termasuk PAS dan Umno bagi membentuk kerajaan baru.
Ekoran kenyataan Mahathir itu, veteran Umno Yussuf Latiff mengusulkan agar Pengerusi Majlis Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berunding dengan Dr Mahathir Mohamad dan mempelawa bekas presiden Umno itu kembali ke pangkuan parti.
Yussuf turut meminta pemimpin Umno agar berjiwa besar, memikirkan masa depan orang Melayu dan mengetepikan kepentingan diri dan jawatan mereka.
Kata Zahid, kenyataan Mahathir itu mungkin strategi untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli Umno, sama seperti yang dilakukan ketika PRU-14 yang menyaksikan BN tumbang.
“Persoalan seterusnya yang menimbulkan tanda tanya besar siapakah rombongan demi rombongan yang datang minta beliau buat sesuatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno ketika itu?” soal Zahid di akhir hantaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan