"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Annuar: Ada lagi pemimpin Umno akan dipecat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen Umno berkata, terdapat beberapa nama lagi “dalam senarai menunggu” untuk dipecat selepas dicap sebagai musuh politik.

“Namun kali ini, pemecatan demi pemecatan berlaku dan difahamkan ada lagi beberapa nama yang sudah ‘dicap’ sebagai musuh politik, bakal dipecat,” kata Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa di Facebook.

Annuar adalah salah seorang pemimpin Umno yang dipecat daripada jawatan setiausaha agung BN pada Januari tahun lalu.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa tindakan menggugurkan Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan mengundang kepada krisis dan perpecahan dalam parti.

Katanya, tindakan menggugurkan duta besar Malaysia ke Indonesia itu bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan Perhimpunan Agung Umno Khas.

“Meskipun ada peruntukan bagi presiden memecat ahli MKT yang dilantik, namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana-mana presiden Umno.

“Ketika Tun M (Dr Mahathir Mohamad), terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yang menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong presiden,” katanya.

Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keputusan menggugurkan Tajuddin daripada MKT disebabkan tindak-tanduk beliau yang mengkritik parti.

Bagaimanapun, Zahid tidak menghuraikan punca pengguguran itu, sebaliknya meminta wartawan mengajukan soalan berkenaan kepada Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut.

“Kena tanya beliau sendiri. Apa kenyataan beliau telah buat, apakah bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan-bahan yang telah beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya yang dipetik sebagai berkata,

Pada masa sama, Zahid juga menegaskan bahawa perlembagaan parti tidak memberikan Tajuddin sebarang ruang untuk merayu terhadap pengguguran jawatan itu.

“Rayuan untuk keahlian boleh dibuat tetapi rayuan untuk sesuatu jawatan yang dilantik saya fikir tidak ada,” katanya.

Tiada ulasan: