"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gawat, keliru kita dah tak tahu mana yang salah mana yang betul

Abdullahjones

"Kelam-kabut sembahyang jenazah tadi," kata seorang lelaki kepada ibunya di sebuah tanah perkuburan.

Untuk pertama kalinya kami hadir di sebuah pengebumian yang imamnya memberi khutbah ringkas setelah selesai jenazah disempurnakan.

Sebelum itu imam tersebut ada menyebut tentang soalan kubur dan jawapannya. Ia seakan-akan talkin yang biasa kami dengar, namun tidak ada sebarang tahlil.

Dan iman serta kami semua yang hadir berdiri sepanjang pengebumian itu. Mungkin itulah yang dikatakan orang sebagai "talkin kaum muda."

Setelah itu doa pun dibaca. Keluarga yang sedang berduka itu pun menyiramkan air di atas kubur tersebut. Keluarga yang sedang berkabung itu juga menabur bunga.

Ia suatu kebiasaan masa kini yang agak asing sedikit masa dulu.

Lelaki yang kami ceritakan tadi selanjutnya menceritakan bahawa beliau langsung lupa apa yang harus dibaca ketika sembahyang jenazah. Betapa beliau tidak ingat langsung apa yang harus dilakukan.

Beliau menceritakan betapa paniknya ketika itu. Malah ketika menceritakan peristiwa tersebut pun beliau masih kelihatan panik.

Ikut trend media sosial

"Nanti mak meninggal macam mana?" tanya ibu lelaki tersebut kepada anaknya itu. Perempuan berkenaan kelihatan agak berusia sementara anaknya pula agak kami sekitar lewat 40-an atau awal 50-an.

"Madi ada, dia anak sulung. Dialah kena buat," kata lelaki tadi kepada ibunya. Kami agak Madi ialah abang kepada lelaki tersebut. Ibu tua itu kelihatan agak kecewa.

Kami sengaja bergerak lebih dekat untuk mendengar perbualan mereka. Kami memang jenis kepohci begitu.

Dalam sibuk kita berbalah mengenai syarie atau tidaknya perbuatan memanjat gunung mencari wali keramat, kita meninggalkan orang banyak yang semakin hari semakin hanyut.

Sibuklah mereka berbuat perkara yang tidak berfaedah hanya kerana tidak mahu dilihat ditinggal masa kini.

Semua orang merasa akan peri perlunya mengikut trend media sosial. Yang muda menari-nari tidak keruan sementara yang tua berasa perlu mengikut rentak orang muda agar tidak dikatakan sedang luput dimakan usia.

Kebenaran beragama bukan lagi menjadi agenda utama. Yang penting adalah hidup dengan penuh hiburan. Kita jadi rela berfoya-foya hanya untuk memuaskan hati sendiri.

Tidak ada sebarang manfaat yang kita perolehi apabila ikut serta dan langsung tidak ada kerugian sekiranya kita tinggalnya. Namun kerana hati sedang sakit, kita ikutkan juga walau nanti kita ini terpelecok ke lubang biawak.

Agama dilepaskan

Lebih busuk lagi apabila kita kini tidak ada lagi pemimpin yang serius dalam hal membentuk masyarakat yang baik dan benar.

Semuanya adalah politik. Apa saja usaha yang dicanangkan - kononnya untuk kebaikan umat - hanyalah omongan yang terjurus kepada membeli jiwa sebelum ia terus dilupakan sejurus selesai pilihan raya.

(Oh! Sebelum terlupa, izinkan kami jadi orang pertama yang mengucapkan selamat mengundi kepada semua. Katanya PRU akan diadakan tahun ini. Dan tidak adalah bezanya siapa pun yang berkuasa nanti. Kerana kita semua sentiasa akan beginilah: bodoh dan diperbodoh.)

Partai yang dulunya garang membela agama kini tidak lain hanyalah satu daripada beberapa partai politik yang berjuang demi mengharapkan kuasa semata-mata.

Keyakinan yang kuasa politik akan membela agama sudah dipatahkan. Lihatlah betapa setelah mereka menggigit kuasa dengan geraham masing-masing, agama di tangan pun dilepaskan.

"Belajarlah," kata ibu tua tadi kepada anaknya, "bukan susah pun. Sembahyang mayat ada empat takbir. Takbir pertama baca Fatihah, lepas takbir kedua baca selawat. Kemudian lepas takbir ketiga baca doa untuk mayat. Kalau tak hafal, doalah dalam hati. Tak pun diam saja. Lepas takbir keempat, bagi salam. Dah siap."

Lelaki itu - yang tadinya berkeras mahu menyerahkan tugas menyembahyangkan ibu kepada abang sulungnya itu - sedikit diam.

Pengebumian yang kami hadiri bukanlah untuk menyimpan orang yang terkenal, sebaliknya cuma seorang kawan yang meninggal agak muda.

Namun kamu akan dimaafkan jika menyangka ia adalah tentang meninggalnya seorang selebriti.

Kami tidak mengatakan bahawa yang hadir itu terlalu ramai tetapi mereka adalah seperti orang yang tidak beradab. Di tengah kesedihan itu, bukan sedikit mereka yang sibuk mengambil foto dan merakam video. Seolah-olahnya suatu pesta.

Dengan gelojoh mereka menyelit di celah-celah kami yang hadir dan menghalakan telefon masing-masing ke arah mayat. Sepertinya tersangat penting bagi mereka untuk berkongsi foto dan video jenazah berkenaan.

Agak kami foto dan video itu kemudian akan dikongsi di media sosial. Dan kami jadi terfikir: untuk siapakah perkongsian itu? Berkongsi kesedihan atau jadi modal menarik perhatian ramai kepada kaki kongsi tersebut?

Hari ini orang banyak jadi keliru. Apakah yang betul dan mana pula yang salah. Daripada berkongsi gambar mayat sehingga urusan harta kewangan, ramai yang jadi keliru.

Terdapat kawan-kawan yang sedikit berada memberi pinjaman wang untuk kawan yang lain sebagai modal berniaga atau melaksanakan satu-satu projek, misalnya.

Dimisalkan rakan tersebut meminjam RM100,000 untuk jangka masa tiga bulan. Setelah matang peminjam akan bersetuju untuk membayar balik sebanyak RM130,000 ringgit. Dan kedua-duanya tidak nampak perbuatan tersebut adalah riba.

Kepada mereka, itu adalah amalan benar dan keyakinan mereka kepada hal tersebut membuatkan kamu merasa sebal.

Judi juga sudah menjadi biasa.

Lihat bagaimana mereka menggolek botol untuk mengharapkan laba tertentu yang disusun di laluan tertentu sambil menganggap ia adalah hiburan keluarga.

Seorang kenalan yang lain pula sangat yakin bahawa segala wang yang dimenanginya menjadi halal setelah dimasukkan ke Bank Islam.

"Duit tu aku masuk Bank Islam. Kemudian aku keluar pakai ATM, halal dah tu," kata beliau kepada kami.

Sementara itu orang alim kita pula sibuk menuding jari mencari salah sesama sendiri. Masyarakat jadi huru-hara.

Keliru itu dapat digambarkan seperti yang kami sebutkan tadi. Tiada talkin untuk jenazah kenalan kami itu namun cebisan bunga ditabur di atas pusaranya.

"Al-Quran pun dah dekat 15 tahun tak baca, entah boleh baca lagi ke tidak," kata lelaki tadi kepada ibunya setelah lama mereka membuat hal sendiri. Kali ini ibunya pula yang terdiam. Mengenang nasib memperoleh anak yang sebegitu gamaknya.

Itulah kita. Mukjizat ada di tangan kita abaikan, tapi kira rela berpeluh ketiak memanjat gunung dan lurah mencari wali keramat.

ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara yang teringin mendaki Gunung Jerai.

Tiada ulasan: