"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru al-Quran mengaku tak salah 17 tuduhan rogol, amang seksual 2 beradik

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru mengaji al-Quran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di George Town, Pulau Pinang, atas 17 tuduhan rogol dan amang seksual terhadap dua beradik sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 74 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Noor Aini Yusof dan Norhayati Mohd Yunus.

Mengikut enam pertuduhan di hadapan Noor Aini, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak yang ketika itu berusia tujuh tahun di Jalan Baru, George Town antara 1 Jan 2018 hingga 31 Dis 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1)(e) yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, lapor Utusan Malaysia.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi 11 lagi pertuduhan di hadapan Norhayati, tertuduh didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berusia lima tahun yang juga kakak kepada mangsa pertama.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu juga didakwa melakukan perbuatan berkenaan di lokasi sama antara 1 Jan 2014 hingga Mac 2021.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1)(e) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat.

Dalam pada itu, kedua-dua hakim turut membenarkan permohonan pendakwa raya supaya tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Tiada ulasan: