"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Berakhirlah sakit Ahmad Lutfi tapi deritanya menuntut media bebas, kitalah yang menanggung’

NOOR AZAM SHAIRI   July 9, 2022

Ahmad Lutfi Othman sudah lama sakit. Bertahun-tahun dia menanggungnya – berulang-alik ke hospital, selang dua atau tiga hari sekali untuk cuci darah. Selepas mencuci darah kerana buah pinggangnya bermasalah dia akan selalu penat.

Tetapi pada hari dia tidak ke hospital itulah yang selalu dia cuba luangkan untuk menerima kunjungan kawan-kawan, baik yang memohon izin mahu menziarahinya atau yang dia sendiri panggil datang.

Saya pernah beberapa kali dipanggilnya datang kerana dia mahu bersembang, bertanya itu dan ini, selalunya tentang politik dan media.

Dia nampak penat tetapi tetap semangat, mendengar dan bertanya, dan memberi pandangannya. Saya selalu cuba untuk tidak berlama-lama kerana menyedari keadaannya yang uzur.

Lutfi tidak hanya menanggung sakit badan tetapi juga derita batin kerana cita-citanya untuk media bebas. Sakit yang itu juga ditanggungnya bertahun-tahun.

Dia keluar dan masuk Harakah kerana kekangan akhbar itu sebagai suara parti politik. Keluar dari Harakah, dia menerbitkan sendiri akhbar dan majalah. Satu demi satu akhbar dan majalahnya dirampas, disekat jualan atau diharamkan.

Bekas editor Harakah, Tarmizi Mohd Jam bersama Ahmad Lutfi sempena penerbitan Lorong Sunyi Media Bebas pada 2016.

Setiap seorang yang terlibat ditakut-takutkan oleh penguasa tetapi mereka mencampakkan ketakutan itu ke kaki penguasa. Bersama kawan-kawan yang sealiran fahaman, dia mengasaskan gerakan media bebas yang menuntut hak sampai ke pintu Suhakam.

Pensyarah media di Universiti George Washington, Janet Steele yang membuat kajian tentang kewartawanan Islam dan wartawan Muslim di Malaysia dan Indonesia mencatatkan ada lebih kurang 50 penerbitan berkala yang dikerjakan sendiri oleh Lutfi. Semuanya atas cita-cita kebebasan.

Kebebasan dan kejujuran media yang dia perjuangkan tidak lagi bertolak daripada teori dan amalan media yang lazimnya dicatat dalam buku dan diajar di sekolah kewartawanan.

Kebebasan dan kejujuran media yang dia perjuangkan berakar daripada ajaran agama yang dia pegang dengan kuat.

Awal pagi tadi, Lutfi tutup usia – kebetulan pada hari lahirnya yang ke-59.

Lutfi sudah menunjukkan contoh tetapi tidak mungkin ada dalam kalangan kita yang mahu mengikutnya. Dia sudah merintiskan jalan ke depan tetapi tidak mungkin banyak orang yang sedia menurutinya.

Dalam perjuangannya, Lutfi mungkin kalah – dikalahkan oleh penguasa, malah dalam beberapa hal, oleh orang yang dia taruh harap dan percaya. Tetapi dia tidak mudah mengalah, dan tidak pernah mengaku kalah. Sama seperti dia berjuang melawan sakit badannya.

Hari ini, pada ulang tahun hari lahirnya dia pergi. Berakhirlah sudah sakitnya. Tetapi derita batinnya tentang media bebas kitalah sekarang yang menanggungnya.

Tiada ulasan: