"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Datang pejabat, saya mahu dengar bacaan 15 juzuk’, mufti P Pinang pelawa wanita didakwa hina Islam

Anne Muhammad

Video tular di media sosial menunjukkan wanita yang pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata.

PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mempelawa wanita yang didakwa menghina Islam ketika berkomedi, datang ke pejabatnya bagi mendengar sendiri bacaan 15 juzuk al-Quran.

Menurut Wan Salim, semakin jahil seseorang itu semakin berani dia mempersenda agama dengan merujuk tindakan wanita berkenaan.

“Bagi orang macam ini tak ada sesuatu pun yang sakral di dalam kehidupan ini. Untuk publisiti murahan segala-galanya boleh dilakukan.

“Kalau sudi dia boleh datang ke pejabat saya di Komtar kerana saya ingin mendengar sendiri dia membaca Quran yang kononnya dia menghafal 15 juzuk,” katanya kepada FMT.

                    Wan Salim Wan Mohd Noor.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan wanita berkenaan yang mempersendakan Islam dalam sesi “open mic” di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.

Dalam video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial, wanita berusia pertengahan 20-an itu pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata.

Polis sudah melakukan tangkapan dan wanita berkenaan direman selama tiga hari.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, kajian lanjut perlu dibuat bagi mengetahui punca sebenar mengapa ia dilakukan oleh segelintir orang Islam.

“Mungkin ini disebabkan sikap sebahagian agamawan, yang terlalu rijid dalam memberi pandangan. Mungkin juga kerana pihak berkuasa agama termasuk Mahkamah Syariah dilihat bertindak kurang bijaksana dalam menangani kes membabitkan wanita.

“Saya juga mengharapkan pihak berwajib menyelidik adakah kejadian ini dirancang oleh pihak tertentu yang dengan sengaja ingin memburukkan imej agama Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Salim berkata jika perkara itu dirancang, tindakan tegas perlu diambil terhadap “mastermind” sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Akhirnya saya menyeru kepada semua kaum di negara ini supaya menghormati semua agama dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara kaum.

“Janganlah kerana tindakan bodoh yang dilakukan oleh mana-mana individu mengeruhkan suasana aman yang kita sama-sama nikmati selama ini,” katanya.

Tiada ulasan: