"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ismail dalam dilema lepas Najib masuk penjara

Alyaa Alhadjri & Fion Yap

ANALISIS | Dengan Najib Razak kini dalam penjara, Umno kehilangan salah seorang peneraju utama kempen parti itu dalam menghadapi pilihan raya.

Perkembangan itu dilihat membuatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob - yang berdepan tekanan dalaman untuk membubarkan parlimen - berada dalam dilema bukan saja berhubung nasib BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15, tapi juga kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Dari satu sisi, penganalisis berpandangan, akur dengan tuntutan yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan PRU pada tahun ini boleh membantu Ismail Sabri menenangkan akar umbi parti itu yang kelihatan yakin untuk menang, berdasarkan kejayaan BN pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Bagaimanapun, menangguhkan PRU hingga tahun depan dilihat dapat memberi masa kepada Ismail Sabri membina agenda pembaharuannya dan seterusnya mengambil alih kawalan dalam Umno daripada Zahid yang kini menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah di mahkamah.

Saintis politik di Universiti Sunway, Wong Chin Huat berkata susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan sabitan kesalahan bekas perdana menteri itu, pengaruhnya ikut terjejas dan tidak mustahil diatasi oleh Ismail Sabri.

“Walaupun Najib menarik perhatian ramai seperti seorang selebriti, dia mungkin tidak lagi dapat meraih lebih banyak undi.

“Ismail Sabri tidak mempunyai karisma Najib tetapi jika beliau kekal sehingga habis penggal (15 Julai 2023) dan melakukan lebih banyak pembaharuan, beliau akan dapat menampilkan dirinya sebagai perdana menteri yang memulihkan kestabilan dan melaksanakan banyak pembaharuan sejak 2018,” kata Wong.

Kata Wong, tidak seperti Zahid, "pendekatan pelbagai parti" Ismail Sabri termasuk melalui memorandum persefahaman dengan pembangkang bermakna beliau akan terhindar daripada digambarkan sebagai "perasuah".

“Kempen yang kurang bersifat memburuk-burukkan pada PRU15 akan membolehkan gaya kebapaannya bertahan dengan lebih baik di wilayah tradisi Umno,” kata Wong.

Secara kebetulan, pemenjaraan Najib berlaku ketika Ismail Sabri meraikan tugasnya selama setahun sebagai perdana menteri dengan pelbagai pembaharuan yang diluluskan di bawah terajunya.

Justeru, kata Shazwan Mustafa Kamal, pengarah bersekutu di Vriens & Partners , dasar awam, hal ehwal kerajaan dan perundingan risiko politik, penting bagi ahli parlimen Bera itu mengekalkan sokongan bipartisan bagi kekal memegang jawatan perdana menteri.

Shazwan berkata, antara lain, pentadbiran Ismail Sabri telah berjaya meneruskan rang undang-undang penting yang bertujuan menghalang lompat parti, Akta Anti Gangguan Seksual, dan beberapa pembaharuan pekerja.

Bola kini di gelanggang Ismail Sabri

Selain itu, Ismail Sabri juga dapat menggilap imejnya melalui pembaharuan yang dirancang termasuk rang undang-undang pembiayaan politik, had penggal perdana menteri memegang jawatan, dan larangan merokok melalui Generasi Penamat.

“Pada asasnya, pencapaian ini tidak penting bagi Umno; presiden parti terus mendesak perdana menteri supaya mengadakan pilihan raya segera.


Zahid, Najib dan sejumlah besar kepimpinan parti - yang digelar 'Kluster Mahkamah' - menghadapi pertuduhan rasuah berprofil tingg. Mereka melihat mandat baharu berpotensi menjadi jalan keluar," katanya.

“Bola kini berada di gelanggang perdana menteri. Dia boleh sama ada akur kepada tuntutan kepimpinan partinya untuk membubarkan parlimen atau meluangkan masa dengan menumpukan pada langkah pembaharuan yang belum selesai sambil membiarkan prosiding undang-undang terhadap pemimpin partinya yang lain terus berjalan.

“Dengan memilih yang kedua, beliau boleh cuba membina kes untuk Umno masa depan yang terhindar daripada rasuah pemimpin generasi terdahulu.

"Dia kemudian boleh mengemukakan hujah yang meyakinkan untuk menjadi perdana menteri bagi penggal kedua,” kata Shazwan.

'Akar umbi Umno kecewa dengan PM'

Sementara itu, felo penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, pengikut Umno yang lebih konservatif mungkin kecewa dengan Ismail Sabri kerana dia mungkin kelihatan gembira dengan keputusan mahkamah Najib.

Selain itu, kata Awang Azman, akar umbi Umno juga tidak berpuas hati dengan pendirian Ismail Sabri yang enggan mengadakan PRU15 awal dan dilihat "tidak ikhlas" untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga PRU15 diadakan.

Justeru, profesor madya di Universiti Malaya itu tidak melihat Ismail Sabri akan berpeluang untuk mengukuhkan kuasa terhadap Zahid dalam parti selepas Najib dipenjarakan malam tadi.

Awang Azman kemudian meramalkan Umno akan terus mendesak PRU15 diadakan tahun ini supaya PH tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menggunakan kes SRC atau meneroka lebih banyak kes untuk menarik lebih banyak sokongan daripada rakyat.

“Lebih banyak masa yang diberikan Umno untuk menangguhkan pilihan raya, semakin tinggi peluang PH untuk menang,” tambah Awang Azman.

Penganalisis politik Kartini Aboo Talib pula berkata Zahid dijangka terus menekan Ismail Sabri, walaupun ia akan menjadi tugas yang lebih sukar memandangkan kesan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib tanpa campur tangan daripada kerajaan.

"Politik tetap stabil dan keputusan mahkamah harus dipatuhi sebagai suatu yang berintegriti. Dari segi imej dunia ia akan mengangkat kebebesan mahkamah sesuai dengan doktrin pemisahan kuasa.

"Bagi parti politik seperti Umno, ia harus dianggap sihat bila bisul dalam badan telah dikeluarkan," kata Kartini, yang juga merupakan timbalan pengarah Institut Penyelidikan Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia.

‘Kuasa Zahid untuk menamakan calon’

Sementara itu, bagi Shazwan, di bawah ketetapan semasa, kekuatan Zahid sebagai presiden parti terletak pada kuasanya untuk menandatangani surat pelantikan bagi calon Umno untuk PRU15.

Shazwan berkata keengganan Ismail Sabri untuk tunduk kepada tekanan daripada Umno boleh melihat Zahid menggunakan kuasanya sebagai "pilihan terakhir" untuk mempengaruhi akar umbi parti.

"Saya rasa jika perdana menteri tidak puas hati dengan tuntutan Umno, dia (Zahid) boleh memilih untuk berbuat demikian, tetapi itu akan menjadi peluru untuk pilihan terakhir yang memberi kesan kepada kumpulan-kumpulan dalam Umno," katanya.

Hujung minggu lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan telah memanggil semua pemimpin bahagian parti itu untuk "mesyuarat tergempar" yang diketuai oleh Zahid di ibu pejabat parti. Susulan itu , timbul khabar angin yang mengatakan mereka yang hadir di bawah tekanan daripada spekulasi bahawa sesiapa yang tidak hadir boleh diketepikan dari senarai calon BN.

Ismail, yang tidak hadir dalam mesyuarat itu, kemudian berkata mereka yang hadir hanya membincangkan perkara-perkara mengenai pengukuhan parti menjelang PRU15, dan beliau mendakwa tidak mengetahui sebarang gesaan untuk mengadakan PRU segera.

'Kesan minimum kepada pembangkang'

Sementara itu, penganalisis juga berkata keputusan akhir SRC Najib tidak memberi kesan besar dalam mempengaruhi sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH), yang pernah merampas kuasa persekutuan semasa PRU ke-14 lalu melalui kempen berhubung skandal 1MDB.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata PH gagal untuk beralih daripada 1MDB dan Najib sejak 2018, walaupun majoriti rakyat Malaysia tidak lagi begitu mengikuti isu itu,

“PH perlu mengartikulasikan perpaduan dan kesepaduannya sendiri, selain meyakinkan pengundi bahawa ia boleh menangani masalah yang membelenggunya dalam tempoh singkat dalam kerajaan.

“Lebih kritikal, PH perlu mencari jalan untuk mendekati pengundi Melayu menjelang PRU15. Jika gagal berbuat demikian, ia hanya bergantung kepada sokongan bandar, bukan Melayu - bukan satu kedudukan yang meyakinkan untuk cuba mengambil alih pentadbiran negara,” kata Ibrahim.

Ibrahim juga berkata walaupun pemenjaraan Najib boleh meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam kalangan penyokong PH, yang dilihat lesu akibat perkembangan berikutan PRU14 atau Langkah Sheraton, masih tiada jaminan sokongan Melayu yang amat diperlukan untuk mempertahankan kerusi yang mereka menangi pada 2018, apatah lagi memenangi kerusi baru.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata dalam meraikan kemenangan kerana menghantar Najib ke penjara, keputusan Mahkamah Persekutuan adalah "antiklimaks" untuk PH, berbeza dengan sabitan asal di Mahkamah Tinggi beberapa tahun lalu.

“Jadi untuk PH sekali lagi menggunakan isu Najib, mungkin mereka tidak akan mendapat sokongan padu yang sama.

“Bagi mereka mengulangi isu 1MDB akan menjadi antiklimaks dan tidak memberi sebarang kelebihan tambahan. Sebaliknya, kelebihan tambahan adalah kepada Umno dan BN dengan satu liabiliti kurang untuk dijawab,” jelasnya.

Ismail Sabri sebelum ini berkata kerajaan persekutuan pimpinan Umno mesti menangani skandal baru-baru ini termasuk projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion sebelum melangkah ke PRU15, bagi mengelak perkara itu meletup seperti skandal 1MDB.

Tiada ulasan: