Hafiizh Mokhtar
PUTRAJAYA: Pilihan raya umum kemungkinan “dilewatkan” supaya parti lawan tidak memperalatkan kontroversi pembelian kapal pesisir laut (LCS), seperti mana mereka menggunakan isu 1MDB untuk menawan Putrajaya pada PRU lalu, kata perdana menteri.
Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno turut mendedahkan beberapa lagi individu akan dihadapkan ke mahkamah selain bekas panglima tentera laut, Ahmad Ramli Mohd Nor, berhubung isu kontrak RM9 bilion LCS itu.
Meskipun tindakan undang-undang diambil, parti lawan dijangka terus mengaitkan isu kontrak RM9 bilion LCS dengan soal kewibawaan pemimpin, kata Ismail.
“Susah nak matikan isu ini kerana isu yang dibangkitkan pembangkang ialah integriti, bukan soal siapa kena tahan, siapa yang kena tangkap.
“Isu LCS baru timbul, tak tahu apa kesannya. Tak tahu apa akan jadi dalam masa sebulan-dua dari sekarang. Tetapi itu yang mungkin menyebabkan kita kata ‘lewatlah pilihan raya, selesai isu’.
“Satu kes telah dibawa ke mahkamah. Saya difahamkan ada dua lagi akan dibawa ke mahkamah. Tapi saya percaya (tidak kira) siapa pun dibawa ke mahkamah, isu ini akan terus dimainkan.
“Pihak lawan, bagi saya akan gunakan isu ini seperti mereka gunakan isu 1MDB dulu. Sama. Yang pentingnya, tindakan yang akan kita lakukan,” kata beliau kepada FMT dan wakil beberapa media lain dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia.
Parti lawan, khususnya DAP dan PKR, sebelum ini melontar pelbagai tuduhan terhadap beberapa pemimpin Umno, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak, dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dalam merungkai isu RM6 bilion yang sudah dibayar kerajaan tetapi belum satu pun kapal berkenaan siap dibina untuk diserahkan kepada TLDM.
Awal minggu ini, pentadbiran Ismail menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) membabitkan projek berkenaan dalam usaha menegakkan ketelusan berhubung kontroversi itu.
Selasa lalu, bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ramli didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta. Bekas panglima tentera laut itu didakwa meluluskan tiga pembayaran berjumlah RM21.08 juta kepada tiga syarikat berbeza tanpa kelulusan lembaga pengarah BNS berhubung projek itu.
Ramli mengaku tidak bersalah.
Ketika ini, desakan semakin bertebaran mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi memperinci pemberian kontrak terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan itu.
Dalam temubual itu, Ismail berkata kerajaan yang diterajuinya mahu memastikan penjelasan lengkap diberikan kepada rakyat mengenai kontroversi LCS kepada rakyat agar ‘peristiwa’ PRU14 tidak berulang.
“Kegagalan kerajaan dulu apabila timbul isu 1MDB gagal untuk menjelaskan perkara sebenarnya kepada rakyat. Itu yang akhirnya rakyat buat spekulasi, dan juga membuat keputusan sendiri apa sebenarnya berlaku, walaupun apa yang mereka jangka itu tidak berlaku, tidak seperti dijangka. Tapi kerana kita gagal untuk memberi penjelasan yang betul, jadi isu (1MDB) itu jadi besar.”
Justeru, kata Ismail, rakyat harus diberikan penjelasan lengkap agar memahami isu di sebalik kontroversi kontrak LCS itu.
“Saya tahulah kerana saya menteri pertahanan dulu. Tapi kawan-kawan dalam Jemaah Menteri yang bukan menteri pertahanan pun tak tahu isu sebenar. Bila kita tak tahu cerita, kita tak boleh beri penjelasan kepada orang sebab kita pun tak tahu,” katanya.
Beliau berkata peranan media amat penting untuk memastikan rakyat mempunyai fakta yang lengkap dan benar mengenai isu LCS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan