"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa dah jadi: Tangisan dan ejekan di taklimat khas Umno

Malaysiakini

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan taklimat khas kepada perwakilan parti berkenaan pemenjaraan Najib Razak, di depan ahli keluarga bekas perdana menteri itu.

Di awal ucapannya, Zahid kelihatan menahan air mata ketika menyuarakan penghargaan kepada isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak-anak mereka kerana hadir di World Trade Centre di Kuala Lumpur.

Najib menjalani hukuman penjara sejak empat hari lalu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Menyuarakan kesedihannya, Zahid berkata kini tiada lagi Najib bersama-sama barisan kepimpinan dan anggota Umno.

"Tersentuh rasanya apabila melihat ke bawah, sosok yang selalu berada bersama-sama dengan kita, hilang daripada pandangan mata. Pemimpin dan sahabat sejati kita kini terkurung.

"Tak dapat dibayang pedih rasanya apabila mengenangkan, dek kerana dendam politik, orang yang banyak berjasa, yang menyentuh setiap jiwa dan melakarkan pelbagai pendekatan agar rakyat pimpinannya sejahtera, kini terpisah dengan keluarga dan rakyat yang merindui sentuhannya," katanya memulakan ucapan.

Sepanjang ucapannya, Zahid tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya berundur, seperti yang dispekulasi ramai pihak.

Namun, setiap kali nama Ismail Sabri atau menerusi jawatannya - naib presiden Umno - disebut, para perwakilan yang hadir dapat didengar memberikan sorakan 'boo'.

Ismail Sabri tidak hadir ke taklimat itu, difahamkan kerana ada program di kawasan Parlimennya, Bera.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber yang berkata ada kemungkinan penyokong kuat Najib akan menggunakan sesi taklimat ini untuk menyalahkan Ismail Sabri atas pemenjaraan Najib.

Tiada ulasan: