"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Skandal LCS: Rafizi tunjuk lagi bukti kaitkan Latiff

Malaysiakini

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengemukakan lebih banyak bukti yang mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut mempertahankan kenyataannya bahawa wanita yang menguasai dua syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan projek LCS itu, merupakan isteri kepada Latiff.

Latiff semalam menafikan dakwaan bahawa Zainab Mohd Salleh, yang dikaitkan dengan syarikat Alizes Marine dan Alizes Marine Labuan ialah isteri keduanya.

Menurut Rafizi, sebuah syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama oleh Latiff dan Zainab pada Ogos 2015 memperoleh kontrak pertahanan bernilai jutaan ringgit.

Katanya, Mega P Asia disebut dalam laporan audit forensik sebagai syarikat yang membekalkan tenaga kerja dari Chile untuk projek kapal selam (Scorpene) membabitkan jutaan ringgit.

"Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr Latiff Ahmad bersama-sama Thierry Barrier yang masing-masing memegang satu saham semasa penubuhan.

“Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Dr Latiff Ahmad terlibat di dalam skim penipuan menggunakan invois-invois palsu melibatkan Alizes Marine Limited, memandangkan invois-invois itu berkait dengan Thierry Barrier (seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Forensik Projek LCS).

"Thierry Barrier dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah seorang individu yang terlibat di dalam pemalsuan invois-invois Alizes Marine Limited menggunakan pelbagai alamat palsu di Perancis.

"Hubung kait di antara Dr Latiff Ahmad dengan Zainab Mohd Salleh diperkuatkan lagi apabila semakan pemilikan saham Mega P Asia Sdn Bhd menunjukkan Dr Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh merupakan pemegang majoriti saham-saham syarikat itu," jelas Rafizi.

Kuasai syarikat

Menurutnya, semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati Latiff memegang 105,002 saham manakala Zainab memiliki 245,000 saham dalam Mega P Asia setakat 2017.

Rafizi berkata hal ini turut disokong oleh laporan kewangan Mega P Asia Sdn Bhd bagi tahun 2016 yang mendedahkan bahawa syarikat itu dikawal oleh Zainab.

"Bukti-bukti ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri (kedua) Dr Latiff Ahmad dan kedua-dua mereka terlibat di dalam Marine Alizes Limited yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai syarikat yang menyelewengkan sehingga RM210 juta dana dari projek LCS.

"Jika benar Zainab Mohd Salleh bukan isteri (kedua) Dr Latiff Ahmad seperti yang disebut di dalam Laporan Forensik Projek LCS, kenapa Dr Latiff memberikan saham majoriti dan membenarkan Zainab Mohd Salleh mengawal Mega P Asia Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkannya dan mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit dari projek-projek Kementerian Pertahanan?” soal Rafizi.

Menurut Rafizi, Latiff cuba memutar belit kenyataannya untuk mengelirukan orang ramai dengan menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isterinya.

Katanya, Latiff merujuk kepada kesilapan satu portal berita yang melaporkan bahawa Zainab Mohd Salleh yang terlibat di dalam projek LCS ini adalah Ketua Pegawai Kewangan Dialog Berhad, yang juga bernama Zainab Mohd Salleh).

"Saya tergelak kerana besar kemungkinan Dr Latiff Ahmad benar-benar ingat saya pun tersilap begitu juga.

"Zainab Mohd Salleh yang memiliki Alizes Marine Limited adalah seorang individu lain,” katanya.

Menurut Rafizi, dia juga mengesahkan kewujudan Zainab Mohd Salleh dengan menjejaki “digital footprint” di Facebook.

"Pada hari Dr Latiff Ahmad mengangkat sumpah sebagai menteri di dalam kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, salah seorang dari yang mengucapkan tahniah di posting Facebook Dr Latiff bertarikh 30 Ogos 2021 adalah Zainab Mohd Salleh.

"Isu yang wajib dijawab oleh Dr Latiff Ahmad (tetapi langsung tiada apa-apa maklum balas setakat ini) ialah pendedahan-pendedahan saya bahawa Zainab Mohd Salleh adalah pemilik syarikat-syarikat palsu Alizes Marine Limited yang menyelewengkan dana dari projek LCS.

"Apatah lagi apabila Laporan Forensik Projek LCS yang dinyahwarta semalam (dan kini boleh dibaca di laman Parlimen) secara terang telah menyatakan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad," kata Rafizi.

Semalam Rafizi mendakwa Latiff dan Zainab sebagai "jerung besar" yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tidak memiliki kelayakan.

Rafizi berkata Latiff, yang kini merupakan pemimpin Bersatu, pada masa itu merupakan timbalan menteri pertahanan dari Umno, manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengetuai kementerian itu.

Tiada ulasan: