"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

NGO penyokong Najib desak supaya Najib diberi pengampunan diraja dalam masa 1minggu

Baru sehari Najib dipenjara, NGO tuntut PM mohon pengampunan diraja

Faiz Zainudin dan Shahrul Shahabudin

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu memulakan proses pengampunan diraja terhadap Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Baru sehari Najib Razak menjalani hukuman penjara susulan sabitannya dalam kes RM42 juta SRC International, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, memohon pengampunan diraja bagi bekas presiden Umno itu.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz, berkata jika Ismail gagal memenuhi tuntutan itu segera, mereka merancang melakukan perhimpunan besar-besaran di pekarangan Istana Negara.

“Perdana menteri harus bagi surat kepada Agong, perkara itu mesti dilakukan daripada perdana menteri.

“Jika minggu ini tak ada pengampunan, minggu depan kami datang besar lagi. Kami mohon campur tangan,” katanya selepas menyerahkan referendum kepada Agong berhubung pengampunan diraja terhadap Najib di Istana Negara.

Referendum itu turut meminta Agong memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan Peguam Negara Idrus Harun bagi memberi penjelasan sama ada wujud konflik kepentingan dalam kes membabitkan bekas perdana menteri itu.

Beliau juga turut mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi “mengarahkan” Ismail bertindak segera memohon campur tangan Agong membebaskan Najib dan jika perkara itu gagal dituruti, Umno wajar menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan perdana menteri.

“Kami mohon presiden Umno, kami tak ingin subahat tapi selaku ahli Umno, kami mohon keluar dan tarik sokongan supaya ada pembubaran Parlimen jika tiada tindakan dibuat. Kami percayakan perdana menteri, tapi kalau perkara ini tidak berlaku kami anggap kerajaan ini zalim.

“Kalau kerajaan Muhyiddin Yassin tak apa. Ini ialah kerajaan BN, kamu aniaya orang banyak berjasa. Jika hari ini Zahid tak berkeras, perdana menteri tak buat sesuatu, saya akan isytihar keluar parti. Baik saya kerjasama dengan DAP, pemimpin mereka (pembangkang) meringkuk dalam penjara, mereka bekerjasama,” katanya.

Syed Mohammad juga meluahkan rasa kecewa apabila tiada pemimpin Umno turun menyertai penyerahan referendum walaupun parti itu mempunyai 191 bahagian seluruh negara.

Terdahulu, lebih 100 penyokong kumpulan itu berkumpul di hadapan pintu masuk 3 Istana Negara.

Penyerahan referendum itu juga dibuat berikutan dakwaan menyebut bahawa Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali yang mengendalikan kes Najib sebelum ini, mempunyai konflik kepentingan berkaitan dengan perkhidmatan beliau sebelum itu.

Semalam Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dihadapi Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan dan hukuman Najib oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lalu, seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Jul 2020, Nazlan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib atas tujuh tuduhan rasuah.

Tiada ulasan: